Mahkamah boleh tangguh pendengaran rayuan akhir Najib

Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Nik Ahmad Kamal)
Laporan Sinar Harian (Gambar kecil: Nik Ahmad Kamal)
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan boleh menangguhkan pendengaran rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Isnin depan dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, jika peguam mewakilinya menarik diri.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan pada tarikh pendengaran rayuan akhir tersebut sama ada meneruskan atau membuat penangguhan untuk membolehkan Najib melantik peguam baharu.

"Apabila mahkamah sudah menetapkan tarikh perbicaraan, ia perlu tetap diteruskan pada hari tersebut walaupun tanpa kehadiran peguam.

"Namun, jika dengan ketiadaan peguam itu, Najib boleh meminta masa kepada mahkamah untuk melantik peguam baharu. Bagaimanapun, tempoh yang akan diberikan oleh mahkamah mungkin tidak panjang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada 26 Julai lalu, Najib memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan sabitan dan hukuman membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Najib kemudian melantik Hisyam daripada Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utamanya, manakala rakan kongsi ZIST, Liew dan Rueben sebagai peguam baharunya.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Ahli Parlimen Pekan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pada Rabu, pasukan peguam yang baru dilantik mewakili Najib bagi rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Persekutuan mereka akan menarik diri sekiranya mahkamah tetap akan terus mendengar rayuan itu minggu depan.

Media difahamkan, peguam Najib tidak bersedia untuk meneruskan rayuan berkenaan kerana membabitkan isu penting dan memerlukan masa untuk persediaan kerana ia bukan rayuan biasa.

Media juga dimaklumkan pendengaran usul untuk mengemukakan bukti baharu akan didengar terlebih dulu pada Isnin dan jika usul itu ditolak, mahkamah akan terus mendengar rayuan utama.

Bagaimanapun, media diberitahu peguam Najib akan membuat permohonan lisan di mahkamah menangguhkan rayuan utama selepas selesai hujah usul bagi memasukkan bukti baharu dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Nik Ahmad Kamal berkata, mahkamah juga mungkin boleh membuat penangguhan sekiranya waktu yang diminta oleh peguam Najib tidak lama sehingga mengganggu perbicaraan tersebut.

"Saya lihat mungkin peguam Najib mahu meminta penangguhan yang panjang, sedangkan mahkamah tidak mahu menangguh begitu lama dan mahu meneruskan juga perbicaraan tersebut.

"Saya fikir Najib juga perlu bersedia dan telah melantik peguam baharu pada hari tersebut sekiranya peguam sedia ada menarik diri," jelasnya.