Dedahkan skandal LCS, heret pelaku ke muka pengadilan

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR - Skandal pembelian kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu didedahkan kepada umum sama ada wujud penyalahgunaan kuasa, rasuah atau pecah amanah bagi setiap pembayaran RM6.083 bilion.

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sebarang kecuaian atau kebocoran membabitkan isu berkenaan yang dikesan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diperincikan untuk tatapan umum kerana melibatkan aset strategik pertahanan negara.

Menurutnya, jenayah yang dilakukan oleh pihak terlibat membahayakan seolah menceroboh kedaulatan negara dengan kelicikan mereka untuk menggagalkan sistem peralatan pertahanan negara.

“Kes ini perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera kerana kumpulan atau individu yang mengkhianati amanat rakyat ini ibarat musuh negara.

“Individu atau kumpulan terlibat perlu diheret ke muka pengadilan dan diberikan hukuman sewajarnya, tanpa mengira pangkat atau darjat agar perkara ini tidak lagi berulang dalam proses perolehan aset strategik kerajaan di kemudian hari,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Ahli Parlimen Sik itu berkata, kelewatan perolehan LCS memberi kesan buruk terhadap aktiviti ekonomi bagi tempoh masa panjang selain menjejaskan pengurusan aset pertahanan strategik negara, seterusnya meletakkan keselamatan rakyat di ambang bahaya.

“Kita sedia maklum negara kita berdepan ancaman pihak luar, lanun dan penceroboh di Laut China Selatan.

Tugas TLDM sangat mencabar dan penting untuk memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat terjamin, malah turut beri kesan kepada industri perdagangan import dan eksport di kawasan maritim agar perkembangan ekonomi negara terkawal.

“Ini termasuk keselamatan rakyat yang mencari rezeki sebagai nelayan laut dalam atau aktiviti carigali petroleum di kawasan perairan negara,” ujarnya.

Ahmad Tarmizi berkata, proses pembayaran projek LCS juga mencurigakan dan tidak selari dengan tatacara kewangan yang betul.

“Pembayaran berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

Ini luar biasa dan pelik, menyebabkan bayaran kemajuan LCS melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar 42.7 peratus).

“Lebih malang lagi, walaupun pembayaran telah dibuat melebihi jumlah sepatutnya namun proses pembinaan kapal LCS masih gagal disiapkan seperti dijadualkan dalam kontrak,” katanya.

Menurutnya, kegagalan proses ‘detailed design’ oleh syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sehingga kini termasuk pertukaran reka bentuk yang tergesa-gesa serta tidak mengendahkan permintaan TLDM turut dipersoalkan.

“Proses pembayaran oleh pihak yang diberi tanggungjawab ketika itu kepada syarikat BNS harus disiasat dengan terperinci.

Terma-terma kontrak lemah dan tidak memihak kepada kerajaan.

“Kita kehilangan wang negara, kapal tempur pertahanan negara entah di mana?” soalnya lagi.

Ahmad Tarmizi berharap pengkhianatan ini didedahkan bagi menjamin urusan pentadbiran negara seterusnya berjalan lancar tanpa sebarang ancaman dari dalam mahupun luar.