Protes mana kapal LCS kemuka tiga tuntutan

Kenyataan media Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? pada Khamis.
Kenyataan media Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu himpunan aman berhubung isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) akan diadakan di hadapan pusat membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur pada Ahad ini.

Jawatankuasa Protes Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)? dalam kenyataan berkata, protes yang berlangsung pada jam 2 petang itu akan mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.

Menurut kenyataan itu, antara tuntutan yang dibuat ialah Suruhanjaya Siasatan Diraja harus ditubuhkan bagi menyiasat dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dengan segera.

“Selain itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein harus mengambil tanggungjawab penuh dalam skandal ini.

“Hishammuddin tidak menawarkan akauntabiliti kepada skandal LCS ini. Maka Hishammuddin harus letak jawatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan tersebut, pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir kepada enam kapal LCS amat penting dalam memastikan tidak ada kompromi terhadap isu keselamatan negara.

“Malangnya setiap satu dari 10 surat teguran, surat tidak puas hati dan surat untuk memaklumkan pendirian TLDM telah diabaikan.

“Jika surat dari Panglima Tentera Laut dibakulsampahkan oleh kerajaan Malaysia, maka ia adalah gambaran kerajaan yang tidak mementingkan suara mereka yang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Maka, jawab surat Panglima TLDM,” ujarnya.

Sementara itu, jawatankuasa berkenaan turut meminta agar semua pimpinan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil-wakil masyarakat sivil supaya menyertai protes berkenaan.

“Jawatankuasa Protes Mana Kapal LCS? percaya bahawa ini satu-satunya jalan yang diambil oleh rakyat.

“Rakyat berhak mendapatkan ketelusan dan akauntabiliti daripada kerajaan bagi memastikan tidak ada lagi wang rakyat disamun dan tidak ada lagi pihak yang menjual keselamatan negara kerana tamakkan wang ringgit,” jelas kenyataan itu.