Kelate.Net mahu MFL, FAM siasat pergaduhan di Kota Bharu

Insiden kekecohan yang berlaku pada aksi Liga Premier antara TRW dengan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada petang Selasa. Gambar kecil: Mohd Nurul
Insiden kekecohan yang berlaku pada aksi Liga Premier antara TRW dengan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada petang Selasa. Gambar kecil: Mohd Nurul
A
A
A

KELAB Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) mahu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan siasatan terperinci insiden penyokong bergaduh pada aksi Liga Premier antara Kelantan FC dengan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Rabu.

Presidennya, Mohd Nurul Mohd Yusoh berkata, siasatan itu perlu dilakukan bagi mengetahui punca sebenar yang membawa kepada tercetusnya insiden berkenaan.

"Pihak kami difahamkan ia berpunca daripada tindakan segelintir penyokong Perak FC yang membuat provokasi melampau terhadap penyokong Kelantan sehingga membawa kepada insiden pergaduhan di luar stadium.

"Bagaimanapun, MFL dan FAM selaku badan bertanggungjawab boleh mendapatkan maklumat penuh berkait insiden tersebut daripada pegawai perlawanan yang bertugas semasa aksi tersebut berlangsung," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Menurutnya, MFL dan FAM perlu mendapatkan laporan penuh daripada pihak tuan rumah serta pelawat sebelum membuat sebarang keputusan berkait perkara tersebut.

Katanya, siasatan yang dilakukan mestilah adil dan bebas supaya menjaga keharmonian sukan bola sepak negara.

Beliau berkata, pihaknya menaruh kepercayaan penuh kepada kedua-dua badan itu untuk mengendalikan kes tersebut

"Pihak Kelate.Net menzahirkan rasa kesal dengan insiden (pergaduhan penyokong) yang berlaku semalam.

"Insiden pergaduhan ini dilihat tidak memberikan apa-apa keuntungan malah memberi imej yang buruk kepada sukan bola sepak di Malaysia selain membawa kerosakan kepada harta benda atau mendatangkan kecederaan," katanya.

Menurutnya, secara dasar pihaknya menolak usaha membawa masuk budaya 'hooligan' dalam sukan bola sepak.

Katanya, budaya tersebut jelas bercanggah dengan tata tusila dan gaya hidup rakyat Malaysia yang penuh dengan tertib.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, tindakan segelintir penyokong pelawat yang membuat provokasi terhadap penyokong Kelantan dipercayai menjadi punca berlakunya kekecohan semalam.

Difahamkan provokasi itu berlaku pada minit-minit akhir perlawanan.

Tindakan tersebut mengundang kepada insiden berbalas-balas balingan objek antara kedua-dua penyokong.

Situasi itu memaksa penyokong pelawat memasuki kawasan padang perlawanan dan berkumpul di hadapan gol sambil sebahagian daripada mereka terus membuat provokasi ke arah tuan rumah.

Susulan itu, penyokong TRW berkumpul di luar stadium sehingga memaksa pihak keselamatan bersama pasukan polis mengawal keadaan dengan 'menahan' penyokong Perak daripada keluar.

Video kekecohan itu kemudiannya tular di laman sosial Facebook sekali gus mengundang pelbagai komen daripada warganet.