Sedia terima ibu tunggal, OKU bekerja sektor perhotelan

MAH Negeri Sembilan sedia menerima golongan ibu tunggal dan OKU untuk bekerja dalam sektor perhotelan. Gambar kecil: Haziz
MAH Negeri Sembilan sedia menerima golongan ibu tunggal dan OKU untuk bekerja dalam sektor perhotelan. Gambar kecil: Haziz
A
A
A

PORT DICKSON - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan bersedia menerima golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja dalam sektor perhotelan.

Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, seramai 34 ahli persatuan hotel Negeri Sembilan bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi untuk membina platform bagi golongan terbabit mendapatkan pekerjaan.

"Kita sentiasa mengalu-alukan golongan ini untuk bekerja dalam sektor perhotelan dan bagi OKU kita akan tempatkan di bahagian yang bersesuaian serta tidak berbahaya.

"Sehingga kini, kerjasama telah pun diadakan dengan Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan (AADK) bagi tujuan itu dan selepas ini kita sasar untuk mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dengan pengkhususan kepada bahagian Pendidikan Khas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam Tahunan MAH NS Chapter di Port Dickson pada Rabu.

Kira-kira 400 pekerja hotel diraikan dalam majlis makan malam tersebut dengan pengisian program bertemakan Glitz and Glam.

Mengulas lanjut Haziz berkata, mana-mana individu, NGO atau agensi yang berminat untuk menjalin kerjasama untuk mendapatkan pekerjaan bagi golongan berkenaan boleh berhubung dengan MAH Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M Saaid dilaporkan berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menggaji kumpulan itu serta bekas banduan dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengisi kekosongan di bahagian restoran dan perkemasan.

Shaharuddin turut menjelaskan, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk mendapatkan tenaga baharu selepas sektor itu dibenarkan beroperasi pada fasa peralihan ke endemik.

Tambah beliau, sebanyak 30,000 pekerja bagi pelbagai jawatan masih diperlukan bagi merancakkan industri perhotelan selepas kerajaan melonggarkan pelbagai syarat termasuk pembukaan semula pintu sempadan pada 1 April lalu.