JKKP Selangor siasat punca pekerja maut terkena renjatan elektrik

Seorang pekerja tempatan berusia 21 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik, minggu lepas di sebuah syarikat penyelenggaraan kapal yang terletak di Selat Lumut, Port Klang. - Gambar hiasan
Seorang pekerja tempatan berusia 21 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik, minggu lepas di sebuah syarikat penyelenggaraan kapal yang terletak di Selat Lumut, Port Klang. - Gambar hiasan
A
A
A
SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pekerja lelaki akibat terkena renjatan elekrik, minggu lepas.

JKKP Selangor dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan kemalangan yang melibatkan seorang pekerja tempatan berusia 21 tahun itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang di sebuah syarikat penyelenggaraan kapal yang terletak di Selat Lumut, Port Klang.

"Daripada siasatan awal, JKKP Selangor mendapati bahawa mangsa ditugaskan untuk membuat kerja pembaikan lampu pendarfluor sementara di kawasan serombong ekzos dalam kapal yang perlu diselenggara bersama rakannya.

"Semasa menukar lampu, rakan mangsa mendengar mangsa mengerang kesakitan dan terduduk di atas platform. Ketika ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, rakannya cuba untuk memegang mangsa bagaimanapun gagal dan mangsa terjatuh ke platform bawah pada ketinggian 2.88 meter.

"Mangsa kemudian dibawa keluar dari kapal dan diberi bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan disahkan meninggal dunia di hospital tersebut," katanya.

Susulan itu, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu tempat kejadian kepada pihak majikan selain Notis Larangan serta-merta bagi kegagalan pihak majikan dalam memastikan keselamatan serta kesihatan pekerjaan bagi proses kerja pembaikan lampu di atas kapal sehingga menyebabkan kemalangan maut.

"JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya. - Bernama