‘Kami risau setiap kali hujan lebat‘

Keadaan banjir kilat di sekitar bandar raya Johor Bahru pada 2 Ogos lalu.
Keadaan banjir kilat di sekitar bandar raya Johor Bahru pada 2 Ogos lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hujan lebat dalam tempoh kurang dua jam pada 2 Ogos lalu menyebabkan beberapa lokasi di bandar raya Johor Bahru ditenggelami air.

Banjir kilat yang menjejaskan kemudahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) itu turut menenggelamkan lebih 500 kenderaan disifatkan sebagai antara tragedi terburuk di Johor dalam tempoh 10 tahun.

Susulan kejadian itu, ramai yang meluahkan rasa kesal bagaimana bandar raya Johor Bahru kerap dilanda banjir apabila hujan lebat dan air pasang besar.

Beberapa kawasan utama dinaiki air antaranya Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Ayer, Jalan Mahmoodiah dan Jalan Tun Abdul Razak.

Bagi penduduk Kampung Mohd Amin, kesan banjir pada Oktober tahun lalu masih dirasai namun terpaksa pula berdepan ujian baru.

Kampung yang terletak di tengah bandar raya Johor Bahru dan dikelilingi bangunan tinggi serta berhampiran kemudahan awam seperti sekolah dan medan selera itu kerap dilanda banjir.

Penduduk, Mohd Shahrir Jamian, 40, memberitahu, sudah 10 kali banjir kilat berlaku dalam tempoh tidak sampai setahun disebabkan pelbagai faktor termasuk kedudukan rumah yang terletak kira-kira 300 meter dari Sungai Chat.

Katanya, penduduk tertekan setiap kali hujan kerana khuatir banjir kilat berlaku secara tiba-tiba, sekali gus menyebabkan banyak barang kelengkapan rumah seperti perabot dan peralatan elektrik rosak.

Mohd Shahrir mengemas perkakas rumahnya yang rosak akibat banjir kilat.
Mohd Shahrir mengemas perkakas rumahnya yang rosak akibat banjir kilat.

“Kerugian akibat banjir kilat pada 2 Ogos lalu agak teruk.

Tidak sempat selamatkan barang sebab hujan turun tidak sampai sejam air sudah naik sehingga paras pinggang.

“Paling sedih, kasut sekolah tiga orang anak yang berusia sembilan, lapan dan lima tahun turut dihanyutkan air banjir,” luahnya.

Kakitangan sebuah ejen pelancongan itu berpendapat, sekiranya kerajaan menyediakan rumah di bawah projek perumahan rakyat (PPR), langkah itu dapat membantu keluarganya tinggal di penempatan yang lebih selesa dan selamat.

“Kampung Mohd Amin terletak di kawasan rendah sebelah bangunan tinggi dan bukit selain berdepan Sungai Chat yang merupakan antara sungai utama di Johor Bahru.

“Setiap kali hujan, kami risau banjir kilat akan berlaku.

Kami berharap pihak berkaitan supaya lakukan penyelenggaraan parit, longkang dan Sungai Chat yang semakin berpasir,” ujar seorang penduduk yang dikenali sebagai Lala.

Pada hujung September lalu, beberapa kawasan rendah di bandar raya ini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih empat jam.

Kejadian banjir kilat itu mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Baginda kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air.