Banjir kilat landa JB, lebih 500 kenderaan tenggelam

Hujan lebat selama beberapa jam mengakibatkan banjir kilat dan menenggelamkan kira-kira 500 kenderaan di pusat bandar raya Johor Bahru pada Selasa.
Hujan lebat selama beberapa jam mengakibatkan banjir kilat dan menenggelamkan kira-kira 500 kenderaan di pusat bandar raya Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor akan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir kilat hingga menenggelamkan lebih 500 kenderaan di pusat bandar raya ini pada Selasa.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di bandar raya ini disebabkan peningkatan taburan hujan mendadak selain kejadian air pasang.

Beberapa kawasan dinaiki air hingga mengakibatkan kesesakan.
Beberapa kawasan dinaiki air hingga mengakibatkan kesesakan.

"Beberapa bulan lepas, pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah melakukan kerja-kerja pembersihan longkang di sekitar kawasan ini, namun banjir kilat ini berlaku disebabkan oleh peningkatan air secara mendadak.

"Saya dimaklumkan (kebiasaannya) dalam tempoh satu jam air hujan turun sekitar 20 hingga 30 mm (milimeter) tetapi hujan ini kali ini menyaksikan taburan hujan mencecah paras 100 mm.

"Selain itu, paras air pasang juga agak tinggi iaitu sekitar 1.15 meter dan ini telah menyebabkan air hujan tidak dapat mengalir ke laut," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mengejut ke Jalan Ayer Molek di sini pada Selasa.

Onn Hafiz melihat sebuah kereta yang dimasuki air selepas melakukan tinjauan mengejut di kawasan banjir kilat di Jalan Ayer Molek pada Selasa.
Onn Hafiz melihat sebuah kereta yang dimasuki air selepas melakukan tinjauan mengejut di kawasan banjir kilat di Jalan Ayer Molek pada Selasa.

Onn Hafiz berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan kerja pengepaman bagi menyalurkan air keluar dari kawasan tersebut selain menambah baik sistem itu untuk menampung kapasiti air yang lebih tinggi.

Menurutnya, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh bersama-sama MBJB untuk mencari penyelesaian bagi mengelak musibah yang sama berulang.

Sejak petang Selasa, tular beberapa foto menunjukkan beberapa kawasan utama antaranya Hospital Sultanah Aminah (HSA), Jalan Wong Ah Fook, Jalan Yahya Awal dan Jalan Ayer Molek diancam banjir kilat hingga mengakibatkan kesesakan.

Difahamkan banjir kilat juga melanda Jalan Pantai Lido menghala pusat bandar raya, Jalan Mahmodiah di hadapan Restoran Yasin dan Jalan Seri Pelangi menghala Stulang Laut.

Banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru dipercayai akibat peningkatan taburan hujan mendadak selain kejadian air pasang.
Banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru dipercayai akibat peningkatan taburan hujan mendadak selain kejadian air pasang.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu kenyataan memberitahu, banjir turut melanda Kampung Baru Mohd Amin, Pulai, dekat sini pada jam 1.30 petang Selasa.

Menurut APM, banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan dan sistem perparitan yang tersumbat hingga mengakibatkan empat buah rumah di kampung itu dinaiki air hampir separuh meter.

Bagaimanapun kata APM, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan pemantauan terus dilakukan sehingga kini.