Pemain industri tawar diri selesai isu banjir negara

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian banjir kilat di pusat bandar raya Johor Bahru pada Selasa.
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian banjir kilat di pusat bandar raya Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat tempatan, Green Area Technology Asia (GAT Asia) tampil menawarkan diri untuk memberi sumbangan kepada kerajaan bagi mengatasi masalah banjir yang semakin kerap melanda beberapa kawasan di dalam negara.

Pengarah Eksekutifnya, Ammar Suhaimi berkata, hasil kajian pemerhatian yang dijalankan oleh GAT Asia mendapati pembangunan pesat di bandar-bandar utama menjadi salah satu faktor utama sistem saliran sedia ada tidak mampu menampung limpahan setiap kali berlakunya hujan lebat.

Justeru, GAT Asia tampil menawarkan solusi dan kaedah yang menyeluruh serta sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kementerian bagi menyelesaikan isu banjir kilat di seluruh negara terutama di kawasan bandar utama di negara ini.

"Berbekalkan pengalaman, pengetahuan, sumber, kemahiran dan teknologi terkini, GAT Asia sedia memberi sumbangan kepada kerajaan dan bertindak secara kolektif bagi menyelesaikan masalah berkenaan sistem saliran untuk tebatan banjir negara," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula sistem pengurusan mitigasi banjir serta penambahbaikan sistem saliran utama yang berkesan untuk tebatan banjir terutama di kawasan ibu kota.

"Kejadian banjir kilat semakin kerap dilaporkan di dada akhbar sejak kebelakangan ini, ia menimbulkan kerisauan bagi kebanyakan penduduk berisiko," katanya.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di bandar raya Johor Bahru dan disifatkan sebagai antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.

Rakaman video oleh orang awam yang dikongsikan di laman media sosial turut memaparkan beberapa jalan utama dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air dan Jalan Yahya Awal.

Malah kawasan letak kenderaan di bandar raya ini turut digenangi air banjir antaranya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), parkir awam di Jalan Ayer Molek dan Kampung Baru Mohd Amin.