Gali kubur: Saya tidak benarkan, kata ibu mangsa

Nazirah Bibi. - Foto kecil: K Surinder Kaur
Nazirah Bibi. - Foto kecil: K Surinder Kaur
A
A
A

GEORGETOWN - "Walau apa pun berlaku, makcik tak akan benarkan," demikian tegas ibu kepada seorang wanita yang meninggal dunia selepas dipukul teman lelakinya Ahad lalu.

Nazirah Bibi @ Kuldip Kaur 69 berkata, arwah anaknya, K Surinder Kaur Bedi telah memeluk Islam sejak setahun lalu namun tidak menukar nama dan berdaftar secara sah.

Menurutnya, kesemua ahli keluarganya iaitu arwah suami termasuk mangsa yang juga anak bongsunya beragama Islam dan mengamalkan kehidupan sebagai Muslim.

"Walaupun tak ada hitam putih arwah anak saya itu beragama Islam, sebagai ibu saya tak membenarkan mana-mana pihak untuk masuk campur dalam agama kami.

"Makcik tak boleh terima.... kami sekeluarga termasuk enam anak makcik sudah masuk Islam, jadi pegangan kami adalah Islam dan ALLAH SWT Tuhan kami, tak ada satu pihak pun yang boleh menafikannya," katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya, arwah anaknya telah banyak kali mengucap dua kalimah syahadah, di hadapan keluarganya.

"Kehidupannya juga mengikut agama Islam dan saya sebagai ibu, tahu semuanya sebab dia tinggal bersama saya.

"Mengapa ada pihak mahu pertikaikan agama anak saya sedangkan saya ibunya, masih hidup?

Artikel Berkaitan:

"Saya ada hak ke atas anak saya dan sekali lagi saya ulang, saya tidak akan benarkan mana-mana pihak 'usik' pusara anak saya," katanya.

Tambahnya, arwah anaknya merupakan anak yang taat pada agama dan orang tua.

"Arwah anak yang baik, dia yang tanggung kami, beli keperluan dan ubat saya.

"Dia tak pernah berkira dan wang gajinya pun dihabiskan untuk keperluan keluarga

"Dia rapat dengan arwah ayahnya dan arwah abang ketiganya," ceritanya lagi.

Nazira Bibi bekata, arwah anaknya itu ada berpesan mahu dikebumikan bersebelahan kubur bapanya jika dia meninggal dunia.

"Perkara ini saya dah maklumkan pada Jabatan Mufti Pulau Pinang, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dan polis.

"Keluarga saya sudah memaklumkan anak saya sudah lama peluk Islam, malah laporan polis juga telah dibuat anak saya, Imran Khan Mohamad Qurban Ali sebelum arwah dikebumikan sebagai seorang Muslim.

"Arwah dah selamat dikebumikan, biarlah dia tenang di sana," katanya.

Katanya, seharusnya perkara itu tidak perlu diperbesarkan.

"Saya tak sanggup tengok kubur anak saya digali semata-mata ada pihak tidak percaya anak saya sudah memeluk Islam," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohon kubur digali jika tiada bukti kukuh

Terdahulu, Persatuan Belia Sikh Pulau Pinang akan memohon kubur K Surinder Kaur Bedi digali semula jika tiada bukti kukuh menyatakan dia adalah seorang Islam.

Penasihat persatuan tersebut, Harjinder Singh berkata, Surinder harus dikebumikan mengikut agama Sikh jika dia belum menukar agamanya seperti yang didakwa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul kekasih hingga maut angkara cemburu

Terdahulu, Surinder didapati parah selepas dipukul dengan topi keledar oleh teman lelakinya dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah.

Wanita berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, pasangan terbabit dikatakan keluar bersiar-siar dengan menaiki motosikal di Persiaran Bayan Indah sebelum mereka berhenti dan minum minuman keras bersama-sama.

Menurutnya, berlaku salah faham di antara mereka dan mangsa dalam keadaan mabuk menuduh kekasihnya itu mempunyai wanita lain sehingga menimbulkan kemarahan suspek.