Isteri Pengerusi UMNO Pulau Pinang meninggal dunia

Maznah meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Seberang Jaya pada Ahad. - Foto Facebook Zahid Hamidi
Maznah meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Seberang Jaya pada Ahad. - Foto Facebook Zahid Hamidi
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Isteri kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir, Datin Maznah Salleh meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Seberang Jaya pada Ahad.

Musa berkata isterinya Maznah, 70, meninggal dunia kira-kira pukul 7.40 malam tadi ketika menerima rawatan akibat serangan strok.

"Allahyarham memang kena serangan strok sebelum ini dan menjalani pelbagai bentuk rawatan termasuk fisioterapi. Arwah mengadu sakit dada sebelum saya bawa ke hospital untuk rawatan. Namun Allah lebih sayangkan arwah.

"Jenazah dibawa pulang ke rumah kami (Permatang Pauh) malam tadi sebelum dibawa ke Masjid Islahiyah di Tawar (Kedah) kira-kira pukul 9 pagi ini untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menyifatkan arwah isterinya seorang yang baik dan penyayang serta beliau sekeluarga juga redha dengan pemergiannya.

Musa turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menziarah jenazah isterinya dan mengirimkan ucapan takziah serta doa.

Musa dan isterinya mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan takziah kepada Musa.

Artikel Berkaitan:

Menerusi catatan di Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan insan solehah yang beroleh jannahNya.

"Berdukacita menerima perkhabaran pemergian Almarhumah Datin Maznah iaitu isteri kepada Datuk Musa yang telah kembali ke rahmatullah petang semalam.

"Takziah yang mendalam kepada Datuk Musa dan keluarga di atas kehilangan ini dan semoga ujian ini dilalui dengan sabar. Bersamalah kita mendoakan Almarhumah ditempatkan dalam kalangan insan solehah yang beroleh jannahNya," katanya. - Bernama