Kerajaan yakin status Tasik Chini tidak terlucut

Kerajaan yakin status Tasik Chini, di Pahang sebagai sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) tidak akan terlucut.(Gambar kecil: Takiyuddin) - Foto Bernama
Kerajaan yakin status Tasik Chini, di Pahang sebagai sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) tidak akan terlucut.(Gambar kecil: Takiyuddin) - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan yakin status Tasik Chini, di Pahang sebagai sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) tidak akan terlucut, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, pihaknya telah menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin untuk mempersembahkan laporan berkaitan Tasik Chini yang telah dilakukan oleh kerajaan.

"Segala persiapan telah dibuat dan laporan juga akan dibawa dalam mesyuarat peringkat kebangsaan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada minggu ini.

"Kita yakin status Tasik Chini tidak dilucutkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini pada Selasa.

Menurutnya, sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan Tasik Chini termasuk kelulusan baharu untuk pengambilan pasir, mineral atau sebagainya telah dihentikan.

UNESCO telah memberi tempoh kepada Malaysia hingga 30 September ini untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan bagi merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan wujud percanggahan dalam laporan punca bencana banjir di Baling pada 4 Julai lepas.

"Saya tidak nampak ada sebarang percanggahan kerana yang menguruskan jawatankuasa khas ini bukan pegawai kerajaan sebaliknya pakar terkenal seperti Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo.

"Jadi saya rasa hasil kajian itu tidak boleh dipertikaikan tetapi kalau kata nak melengkapkan lagi hasil siasatan mungkin boleh," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Penasihat Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah Mohd Sobri Ramlee menggesa penubuhan RCI kerana menurutnya wujud percanggahan dalam laporan berhubung punca kejadian banjir puing di Baling berikutan dua kenyataan berbeza dikeluarkan KeTSA dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). - Bernama