Status Tasik Chini masih boleh dipertahankan

Tasik Chini . (Gambar dalam : Noor Jehan)
Tasik Chini . (Gambar dalam : Noor Jehan)
A
A
A

KUANTAN - Status Tasik Chini sebagai rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) masih boleh dipertahankan.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar berkata, kawasan Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar dapat dipertahan jika semua penanaman semula dan pemulihan berjalan seperti dirancang.

"Kalau semua pihak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan status UNESCO ini dan jika wakil mereka boleh melakukan satu lagi penilaian dan laporan bagi tahun ini.

“Jika itu berlaku mungkin peluang masih ada untuk Tasik Chini mengekalkan status sebagai tapak rizab biosfera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia mendapat pengiktirafan UNESCO diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang September tahun lalu.

Status rizab biosfera UNESCO Tasik Chini mendapat perhatian selepas sebuah portal media temptan pada Ahad lalu melaporkan status itu kini dalam penelitian dan penemuan awal tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama UNESCO mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO MAB pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun.

Beliau menjelaskan penelitian awal dan laporan berkaitan risiko status tasik itu ditarik balik oleh UNESCO adalah dibuat berdasarkan pemeriksaan tahun 2021.

Katanya, bagaimanapun bagi tahun ini, ada beberapa usaha penanaman semula telah dilakukan di bawah kendalian Jabatan Perhutanan Pahang untuk memperbaiki kualiti kawasan terjejas akibat aktiviti perlombongan di sekitar Tasik Chini.

"MNS Pahang turut mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman semula di situ dan pemantauan secara berterusan dilakukan.

"Kadar 'survival' bagi pokok yang ditanam semula juga adalah agak baik dan tinggi," ujarnya.

Menurut Noor Jehan, sekiranya wakil UNESCO boleh melakukan satu lagi penilaian dan laporan bagi tahun ini.

"Saya juga ada membaca laporan (UNESCO) itu, dan dia kata 'pihak berkuasa Malaysia diminta menghantar pelan terperinci untuk rizab biosfera Tasik Chini sebelum 30 September tahun ini'.

"Laporan itu perlu menyertakan pengezonan (kawasan) yang dikemas kini dengan 'mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera'," katanya lagi.