Tiga senator cadang bahas isu LCS di Dewan Negara

PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan. - Foto Bernama
PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga Ahli Dewan Negara pada Selasa mencadangkan supaya isu berhubung kapal tempur pesisir (LCS) dibahaskan di Dewan Negara sebelum persidangan tamat, Selasa depan.

Cadangan itu dikemukakan Lim Hui Ying, Fadhlina Sidek dan Datuk A Kesavadas Nair yang ingin tahu lebih lanjut mengenai perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan.

Hui Ying berkata, isu itu perlu dibahas memandangkan ia melibatkan kepentingan awam serta keselamatan negara, dan pihaknya telah memberikan surat pemberitahuan usul kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (1), pada Selasa.

"Saya memohon jasa Yang Dipertua Dewan Negara untuk benarkan saya bentangkan usul mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (1) bertujuan merundingkan perkara berhubung laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang perolehan LCS bagi TLDM.

"Laporan PAC itu turut mendedahkan pelbagai kepincangan, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam keseluruhan projek ini termasuk melibatkan mantan Menteri Pertahanan. Justeru, perkara ini wajar dibahaskan di Dewan Negara memandangkan ia melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, pada Selasa.

Sementara itu, Fadhlina menyeru agar Ahli Dewan Negara turut mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu sekiranya dibenarkan kelak, supaya ia dilihat sebagai satu kepentingan negara secara bipartisan selain mengharapkan kehadiran menteri yang bertanggungjawab.

Senada dengannya, Kesavadas berharap Yang Dipertua Dewan Negara akan memberi pertimbangan agar perkara itu dapat dibahaskan khususnya apabila ia melibatkan keselamatan negara dan disyaki berlakunya penyelewengan.

Sementara itu wakil Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara memberitahu cadangan untuk mengemukakan usul itu telah dimaklumkan kepada speaker namun pemakluman usul masih belum diterima setakat petang ini.

Khamis lepas, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022. - Bernama