TLDM sokong siasatan ketirisan projek LCS

TLDM sokong penuh siasatan dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS). Foto Bernama
TLDM sokong penuh siasatan dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS). Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyokong penuh siasatan dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai projek perolehan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dikeluarkan pada 4 Ogos lalu.

Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung perkara terbabit dan amat mengalu-alukan syor diberikan PAC baru-baru ini demi hala tuju yang lebih baik.

“TLDM amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk meneruskan projek ini dan menyifatkan ia keputusan yang tepat dan didorong oleh keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kepentingan kedaulatan negara.

"TLDM ingin menyatakan sokongan agar sebarang ketirisan di dalam projek ini disiasat seterusnya pihak-pihak yang terbukti terbabit dengan perkara ini dibawa ke muka pengadilan seberapa segera," katanya satu kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, sebagai the end user, kelewatan pelaksanaan projek ini telah memberi kesan negatif bukan sahaja kepada keupayaan tempur armada TLDM, malahan kepada moral warga TLDM yang memerlukan kapal-kapal LCS ini untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Sehubungan itu, TLDM ingin meminta semua pihak agar berganding bahu dan memberikan sokongan terhadap kelancaran pelaksanaan projek ini demi memelihara kedaulatan dan keselamatan perairan negara.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap semua penemuan dalam projek pembinaan lima LCS TLDM susulan wujud pelbagai isu mengenai projek berkenaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membolehkan pendakwaan dibuat secepat mungkin terhadap pihak yang terlibat.