Mohon kubur digali jika tiada bukti kukuh

Harjinder Singh
Harjinder Singh
A
A
A

BAYAN BARU - Persatuan Belia Sikh Pulau Pinang akan memohon kubur K Surinder Kaur Bedi digali semula jika tiada bukti kukuh menyatakan dia adalah seorang Islam.

Penasihat persatuan tersebut, Harjinder Singh berkata, Surinder harus dikebumikan mengikut agama Sikh jika dia belum menukar agamanya seperti yang didakwa.

Menurutnya, pihaknya tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan namun bertindak untuk menjaga agama mereka sahaja.

"Kami bukan mahu membuat kecoh, cuma menjaga agama kami saja.

"Jika Surinder masih seorang Sikh ketika dia meninggal dunia, kita mahu mayatnya dikebumikan secara agama Sikh," katanya kepada media, hari ini.

Katanya, tiada niat untuk berbalah dengan keluarga mangsa atau Jabatan Mufti Pulau Pinang mahu pun Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), malah kami sudah menghubungi Jabatan Mufti Pulau Pinang dan JHEAINPP untuk membincangkan isu ini," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, hanya bukti konkrit diperlukan dari kedua-dua jabatan itu bahawa Surinder telah secara rasmi menukar agamanya.

"Jika dia benar-benar sudah memeluk agama Islam dua minggu lalu seperti yang didakwa, mesti ada beberapa dokumen yang telah difailkan bagi membuktikan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan terima dia dikebumikan secara Islam dan menganggap isu ini selesai," katanya.

Persatuan itu telah membuat laporan polis pada petang Isnin lalu untuk meminta polis menyiasat tentang dakwaan penukaran agama Surinder.

"Semalam polis memberitahu bahawa mayat Surinder diserahkan kepada JHEAINPP untuk pengebumian secara Islam kerana tiada mana-mana pihak yang mempertikaikan status agamanya.

"Selain itu, tindakan penyerahan mayat itu juga dibuat selepas memperolehi surat dari Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengesahkan mangsa adalah seorang Muslim. Surat dari mufti bukan bukti konkrit kerana ia dikeluarkan berdasarkan apa yang dikatakan abangnya kepada mufti," katanya.

Harjinder berkata, JHEAINPP telah menasihatkan mereka untuk tidak mendekati keluarga Surinder.

"Surinder adalah satu-satunya ahli keluarga berkenaan yang secara tidak rasmi memeluk agama Islam dan dia tetap beragama Sikh seperti yang tertera pada kad pengenalannya.

"Kami percaya, keluarganya mungkin mahu dia dikebumikan mengikut upacara Islam kerana mereka semua Muslim," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul kekasih hingga maut angkara cemburu

Terdahulu, Surinder didapati parah selepas dipukul dengan topi keledar oleh teman lelakinya dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah.

Wanita berusia 37 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi tadi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, pasangan terbabit dikatakan keluar bersiar-siar dengan menaiki motosikal di Persiaran Bayan Indah sebelum mereka berhenti dan minum minuman keras bersama-sama.

Menurutnya, berlaku salah faham di antara mereka dan mangsa dalam keadaan mabuk menuduh kekasihnya itu mempunyai wanita lain sehingga menimbulkan kemarahan suspek.