Johor catat peningkatan kes HFMD, ILI, URTI

Sebanyak 8,720 kes HFMD dilaporkan setakat Sabtu. (Gambar kecil: Tian Soon)
Sebanyak 8,720 kes HFMD dilaporkan setakat Sabtu. (Gambar kecil: Tian Soon)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kes kumulatif bagi penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), wabak jangkitan saluran pernafasan, iaitu Influenza-Like-Illness (ILI) dan Upper Respiratory Tract Illness (URTI) di negeri ini menunjukkan peningkatan.

Exco Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian Soon berkata, sebanyak 8,720 kes HFMD dilaporkan setakat Sabtu iaitu peningkatan sebanyak 82.3 kali ganda berbanding 106 kes yang dilaporkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, secara keseluruhan daerah Johor Bahru mencatatkan bilangan kes HFMD tertinggi iaitu 3,017 kes, Kluang (1,127 kes), Batu Pahat (897 kes), Tangkak (894 kes), Segamat (775 kes), Kota Tinggi (697 kes), Pontian (579 kes), Muar (331 kes), Kulai (271 kes) dan Mersing (132 kes).

"Walaupun terdapat peningkatan, situasi HFMD di Johor masih terkawal. Ini dibuktikan dengan penurunan ketara trend kes HFMD yang dilaporkan di negeri Johor bermula pada minggu epid 22 sehingga minggu epid 31.

"Sebanyak 7,512 kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak usia enam tahun ke bawah diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun sebanyak 1,045 kes, dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.

"Sehingga kini, hanya satu wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri ini melibatkan daerah Johor Bahru. Lokasi penularan wabak HFMD di Johor membabitkan taska (46 wabak) diikuti oleh rumah persendirian (22 wabak), tabika (14 wabak), tadika (9 wabak), prasekolah (9 wabak), sekolah rendah (3 wabak), pusat jagaan harian (3 wabak) dan lain-lain (2 wabak)," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurut Tian Soon bagi wabak ILI dan URTI pula, sebanyak 1,531 kes jangkitan saluran pernafasan pada minggu epid 31, iaitu peningkatan sebanyak 2.7 kali ganda berbanding 574 kes pada tempoh yang sama bagi tahun 2021.

Jelasnya, bilangan kluster wabak salur pernafasan juga menunjukkan peningkatan, sebanyak 18 kluster berbanding dengan 8 kluster pada tempoh masa tahun lalu.

"Kebanyakan kluster yang dilaporkan adalah membabitkan institusi pendidikan (77.8 peratus).

"Merujuk kepada survelan ILI yang dijalankan di Klinik Kesihatan Johor, terdapat penurunan bagi kes yang dilaporkan pada minggu epid 31 sehingga minggu epid 30," katanya.