Tubuh Jawatankuasa khas siasat isu 'troll farm' libatkan PDRM

Syed Saddiq. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Syed Saddiq. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta agar satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan mengaitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kewujudan rangkaian akaun palsu di sosial media.

Ia selepas laporan daripada syarikat teknologi, Meta menyatakan kemungkinan terdapat campur tangan pihak polis di sebalik penutupan lebih 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia, kerana menjadi platform ‘troll farm’.

Syed Saddiq yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata, isu tersebut merupakan sesuatu yang serius dan ia memerlukan tindakan susulan daripada pihak terbabit.

Menurut beliau, lebih membimbangkan mengenai pendedahan tersebut sekiranya ia benar adalah berkaitan jumlah perbelanjaan dikeluarkan bagi tujuan tersebut.

“Walaupun PDRM dah nafikan laporan Meta, apa tindakan PDRM seterusnya? Ini adalah data yang sahih dari Meta.

“Jangan jadikan PDRM sebagai alat politik. Police are meant to protect the Rakyat, not demonize them. We don’t need another JKOM! (Polis adalah untuk melindungi Rakyat, bukan memburukkan mereka. Kami tidak memerlukan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) lain!).

“Ini isu serius kerana ini bukan fungsi polis. Dalam dunia ini hanya ada tiga ladang troll dan Malaysia salah satu daripadanya. PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas) mesti ditubuhkan untuk siasat dakwaan dan aktiviti ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Istilah ‘troll farm’ merujuk kepada laman sosial yang diwujudkan untuk menjejaskan dan memanipulasi wacana awam menerusi akaun-akaun palsu.

Meta melalui Quarterly Adversarial Threat Report menyatakan bahawa sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam dari Facebook sementara 72 akaun ditutup dari Instagram kerana didapati menjadi sebahagian daripada jaringan itu.

Laporan itu mendakwa rangkaian sosial media itu itu berasal dari Malaysia dan menjadikan audiens domestik di dalam negara sebagai sasaran.

Susulan daripada itu, PDRM pada Sabtu tampil menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa badan penguat kuasa itu sama sekali tidak terlibat sebagaimana dilaporkan.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin turut memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan maklumat mengenai perkara tersebut.