PRU15 dijangka paling sengit, tiada parti ada kelebihan

Gambar kecil: Ahmad Atory
Gambar kecil: Ahmad Atory
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam iaitu Gerakan Tanah Air (GTA) hanya memecahkan undi Melayu, seterusnya menyaksikan pertembungan paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, pola pengundian Melayu akan bertaburan dan pada masa sama, Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menjadikan tiada parti yang berkelebihan.

Justeru, beliau meramalkan parti-parti akan kembali duduk bersama dan membentuk kerajaan gabungan sebagaimana sekarang.

“Apabila ada tiga blok parti Melayu Islam, kita boleh jangka ia hanya memecahkan undi Melayu kerana pengundi mempunyai pilihan dan memilih parti mana yang dapat memperjuangkan hak mereka.

“Memang diakui undi Melayu akan bertaburan dan saya tidak fikir PH menguasai kerajaan kali ini kerana pakatan berkenaan dan Anwar sendiri sudah gagal untuk melaksanakan manifestonya sewaktu PRU14.

“Ia dapat dilihat dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor.

“PKR sendiri berpecah-belah macam UMNO. PH tak kuat, hanya propaganda mengatakan PH semakin kuat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan GTA pada Khamis, yang terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli perseorangan.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja GTA mengumumkan gabungan itu akan mempertaruhkan calonnya di 120 kerusi Parlimen pada PRU15 bagi melawan UMNO dan kesemua kerusi tersebut diletakkan di kawasan majoriti penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Penganalisis Politik daripada Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpandangan, gagasan itu tidak mampu menjadi satu gelombang yang besar, namun berkemungkinan menjadi penentu kepada kekuatan politik Melayu Islam.

Beliau turut melihat gagasan itu lebih bersifat bermusim dan menjual figura Dr Mahathir.

“Saya rasa, gagasan ini bergantung sepenuhnya dengan figura Dr Mahathir dan kita tak nafikan beliau masih mempunyai pengikut yang setia.

“Cuma yang saya nampak, gagasan ini juga disokong oleh tokoh akademik dan profesional yang berwibawa.

“Ini boleh menarik dan menjadi ancaman kepada UMNO serta parti Melayu kerana golongan profesional berkenaan boleh tertarik dengan GTA selain diberikan peranan dan suara,” katanya.

Ujarnya, berdasarkan trend di Johor, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) ditolak selain dilihat sukar untuk memecahkan undi pada PRU15.

“Dalam PRU14, kita ada isu Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB. Kalau GTA boleh mainkan isu dan persepsi yang boleh mengubah sentimen pengundi, mungkin ia boleh memecahkan undi Melayu,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!