Padah pamer pelbagai spesies kura-kura dilindungi

Antara spesies kura-kura yang dirampas dan dianggarkan bernilai RM5,000. - Foto Perhilitan
Antara spesies kura-kura yang dirampas dan dianggarkan bernilai RM5,000. - Foto Perhilitan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pemilik restoran di Bentong, Pahang mempamerkan pelbagai spesies kura-kura yang dilindungi tanpa kebenaran mengundang padah selepas diserbu pihak berkuasa pada 20 Julai lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi kira-kira jam 5 petang itu dijalankan bersama anggota Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Menurutnya, antara spesies kura-kura dirampas adalah Juku Juku Besar, Baning, Chinse Stripe-Necked Turtle, Kura-Kura Katup dan Red-Eared Slider yang dianggarkan bernilai RM5,000.

"Siasatan awal mendapati spesies kura-kura yang diletakkan di dalam kolam premis itu dipercayai bertujuan untuk dipamerkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Siasatan awal mendapati spesies kura-kura yang diletakkan di dalam kolam premis itu dipercayai bertujuan untuk dipamerkan
Siasatan awal mendapati spesies kura-kura yang diletakkan di dalam kolam premis itu dipercayai bertujuan untuk dipamerkan

Beliau berkata, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun ditahan untuk siasatan lanjut berhubung tindakan menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa lesen serta permit khas.

Katanya, rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.

"Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]," ujarnya.

Tegasnya, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar diingatkan agar menghentikan kegiatan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh salurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” ujarnya.