Fikir dua kali bercuti ketika inflasi tinggi

Aktiviti pelancongan kini kembali rancak selepas kelonggaran merentas negeri dibenarkan.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Aktiviti pelancongan kini kembali rancak selepas kelonggaran merentas negeri dibenarkan.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

SETELAH hampir dua tahun 'berkurung' berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti pelancongan kini kembali rancak selepas kelonggaran merentas negeri dibenarkan.

Bagaimanapun, disebabkan permintaan perkhidmatan yang meningkat secara mendadak, ia telah mendorong kepada kenaikan harga sama ada dari segi penginapan, makanan serta bayaran yang dikenakan bagi memasuki premis-premis tumpuan pelancong.

Bagi Merak Jalanan, kos perbelanjaan percutian di sebuah bandar bersejarah dua minggu lalu amat dirasai berbeza berbanding beberapa tahun lalu sebelum pandemik.

Kenaikan paling ketara ialah harga makanan ketika menjamu ikan bakar kegemaran bersama makanan ringan yang lain seperti keropok dan rojak.

Lonjakan harga amat dirasai kerana harga yang dikenakan tersebut bukannya menjamu selera di restoran mewah atau outlet di kawasan pelancongan tetapi hanya di kawasan pinggir bandar.

Selain makanan, kadar harga penginapan turut melonjak dua kali ganda malahan kawasan terletaknya inap desa yang dihuni hanya di kawasan pinggir bandar.

Lupakan hasrat menginap di hotel kerana harga yang dikenakan amat tinggi berbanding harga yang ditawarkan sebelum pandemik iaitu pada tahun 2019.

Bagi Merak Jalanan, walaupun kenaikan atau lonjakan harga telah dijangka namun kadar atau kos kenaikan yang dikenakan kini amat mengejutkan khususnya bagi mereka yang pernah berkunjung di tempat sama.

Bagi yang merancang untuk bercuti dengan keluarga, berfikirlah dua kali kerana kos percutian tidak boleh dijangka dan tidak boleh dicongak secara kasar walaupun bercuti di dalam negeri.

Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai, buatlah perancangan rapi dari segi kewangan mengambil kira lokasi dan masa percutian selain memilih lokasi yang tidak terlalu popular.