Pelajar harap kepala air di Baling tidak berulang

Mohd Razman berbual dengan Muhammad Kamil dan Muhammad Aiman (kiri) semasa menyampaikan sumbangan Yayasan Pelajaran Mara di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang, di Baling pada Isnin.
Mohd Razman berbual dengan Muhammad Kamil dan Muhammad Aiman (kiri) semasa menyampaikan sumbangan Yayasan Pelajaran Mara di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang, di Baling pada Isnin.
A
A
A

BALING - Seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut terjejas akibat banjir dan kepala air Kupang, di sini 4 Julai lalu mengharapkan bencana berkenaan tidak lagi berulang.

Muhammad Aiman Syazrin Abdullah, 11, dari Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang yang menghadapi penyakit saraf berkata, kejadian itu mengejutkan sehingga banyak kerosakan dan kemusnahan harta benda selain mengorbankan tiga nyawa.

"Namun saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur serta berharap agar kejadian ini tidak berulang," katanya.

Jelasnya, walaupun berdepan bencana yang tidak dijangka, dia tetap meneruskan pelajaran bagi memastikan tidak ketinggalan.

"Saya tidak dapat berjalan, tetapi saya tetap yakin boleh sembuh dan memasang cita-cita untuk bermain bola sepak lepas ini, bagaimanapun saya tetap akan mengutamakan pelajaran bagi mengubah masa depan keluarga," katanya yang merupakan anak kepada pengawal keselamatan.

Muhammad Aiman antara 300 pelajar yang menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM150 daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di sini pada Isnin.

Sumbangan disampaikan Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob kepada pelajar dari tiga buah sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kupang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dan Sekolah Menegah Agama Arab Yayasan Khairiah.

Selain itu, murid prasekolah SK Kuala Kupang, Muhammad Kamil Mohd Izuddin, 5, yang berstatus anak yatim mengucapkan terima kasih kepada penyumbang kerana turut tersenarai sebagai penerima banjir.

Menurut Muhammad Kamil, wang yang diterima akan diberikan kepada ibunya bagi menyara mereka bersama seorang adik berusia tiga tahun setelah kematian bapa akibat Covid-19 pada tahun lalu.

Selain itu, Pelajar SMK Jerai, Nur Hidayahtun Taiyibah Mohd Nizam, 17, dari Kampung Hangus berkata, sebelum ini, banjir sering melanda kampungnya namun tidak seteruk kepala air.

"Kami sekeluarga terkejut sebab sebelum ini banjir biasa sahaja, tetapi kali ini sampai 0.5 meter, habis peralatan rumah dan perabot rosak," katanya.

Jelasnya, biarpun ditimpa musibah, namun persediaan menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tetap diteruskan dan mengharapkan tiada lagi bencana selepas ini.

Pelajar SMK Jerai, Muhammad Aidil Zaquan Mohamad Hasnizam, 16, dari Kampung Tanah Periuk berkata, kedudukan rumah yang berdekatan sungai menyebabkan paras air meningkat sehingga mencecah dua meter ketika dilanda kepala air.

"Kejadian itu cukup mengejutkan apabila banyak barangan tak sempat diselamatkan termasuk Al-Quran dan perkakasan rumah, peti ais, mesin basuh turut terjejas," katanya.

Anak kedua dari empat beradik itu menjelaskan, ayahnya yang bekerja sebagai buruh binaan hilang pendapatan akibat tragedi terbabit memandangkan kini kebanyakan penduduk menumpukan kepada proses pascabanjir khususnya pembersihan rumah dan peralatan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Razman berkata, YPM menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyalurkan bantuan persekolahan bernilai RM45,000 kepada 300 pelajar dari tiga buah sekolah yang terkesan tragedi banjir dan kepala air.

"Sumbangan diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga mereka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seterusnya menyuntik semangat untuk terus belajar.

"Sehingga Jun, seramai 14,500 pelajar menerima manfaat YPM membabitkan kos RM1.5 juta termasuk golongan B40, asnaf, fakir miskin, anak yatim dan yatim piatu di seluruh negara," katanya.