RUU Anti Lompat Parti perlu pembaharuan institusi menyeluruh

Tricia Yeoh
Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mencadangkan supaya langkah untuk menghalang aktiviti lompat parti hendaklah diikuti dengan pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh bagi mengukuhkan demokrasi dan sistem politik negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, berikutan itu satu mekanisme pilihan raya semula perlu dilaksanakan pada masa hadapan bertujuan mengembalikan mandat kepada rakyat sama ada untuk mengekalkan atau memecat ahli Parlimen yang telah menukar parti.

“Walaupun Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 sudah diluluskan, IDEAS berharap ini hanya lah permulaan kepada pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh untuk mengukuhkan demokrasi negara.

“RUU ini penting untuk membendung ahli Parlimen daripada bertukar parti, tetapi melihat lebih daripada itu, satu mekanisme pilihan raya semula perlu dilaksanakan pada masa hadapan.

“Ini bertujuan mengembalikan pilihan kepada rakyat sama ada untuk mengekalkan atau memecat ahli Parlimen yang telah menukar parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, RUU berkaitan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan di Parlimen selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua per tiga.

RUU paling dinanti-nantikan itu diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik daripada pihak kerajaan dan blok pembangkang.

Dalam perkembangan sama, Tricia turut memberitahu bahawa satu Akta Pendanaan Politik dan Akta Kumpulan Wang Pembangunan Kawasan juga diperlukan bagi memastikan ketelusan dalam pendanaan politik, selain menyediakan pentas yang sama adil kepada semua parti politik.

“RUU Anti Lompat Parti ini tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya penawar kepada semua permasalahan dalam sistem politik Malaysia, tetapi perlu dilihat sebagai satu permulaan untuk melakukan pembaharuan lain yang lebih berani,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya memuji sikap dwipartisan yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen dalam meluluskan RUU tersebut.

“Kami berharap perpaduan yang sama dapat ditunjukkan untuk mana-mana RUU bagi tujuan mengembalikan kepercayaan yang telah hilang selepas berlakunya Langkah Sheraton,” katanya.