Perak bakal bentang RUU Anti Lompat Parti

Saarani memberi penerangan Pelan Perak Sejahtera 2030 bersama NGO kaum Cina dan India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor pada Ahad.
Saarani memberi penerangan Pelan Perak Sejahtera 2030 bersama NGO kaum Cina dan India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor pada Ahad.
A
A
A

TAMBUN - Kerajaan Perak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas peraturan itu diluluskan Dewan Rakyat Khamis lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pindaan itu dilakukan pada sesi sidang DUN akan datang agar ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Apa jua RUU di peringkat pusat untuk membolehkannya dilaksanakan di peringkat negeri, ia perlu dibawa ke sidang DUN setelah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Kita akan bawa ke sidang DUN pula untuk dibahaskan dan mengundi sebelum meluluskannya. Baru ia boleh dipraktikkan di Perak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program sesi mesra bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penerangan Pelan Perak Sejahtera 2030 bersama NGO kaum Cina dan India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan UMNO berharap semua kerajaan negeri dapat meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi membolehkan mereka melaksanakan peraturan berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RUU Anti Lompat Parti itu seharusnya ia diikuti oleh lima negeri yang dikuasai UMNO iaitu Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan Perak.

Pada Khamis, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dengan mendapat undi majoriti dua pertiga ahli dewan.

Seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian.

RUU itu akan dibentangkan di Dewan Negara pada 9 Ogos ini dan selepas diluluskan ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan sebelum diwartakan.