Dewan Rakyat lulus RUU larangan tukar parti

 Azhar Azizan
Azhar Azizan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga, pada Khamis.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.

Keputusan itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas selesai kiraan dibuat pada jam 5.12 petang.

RUU paling dinanti-nanti itu diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik daripada pihak kerajaan dan blok pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi ketika menggulung perbahasan sebelum itu berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas memutuskan bahawa ahli Dewan Rakyat yang keluar dari suatu parti politik dalam suatu gabungan, dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, maka ahli Dewan Rakyat tersebut terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.

“Ini kerana keanggotaan seseorang ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik, tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak,” katanya

Bagaimanapun beliau menjelaskan, ahli Parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi yang disandangnya.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama di Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sejak berakhirnya Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, seramai 40 ahli Parlimen telah lompat parti sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik negara.