Kelulusan RUU lompat parti, kembalikan keyakinan rakyat

Zuraidi
Zuraidi
A
A
A

KUANTAN - Kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (No. 3) 2022 dan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti mampu kembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.

Pengurus Hal Ehwal Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota, Ts Zuraidi Ismail berkata, itu antara harapan yang dinanti-nantikan pengundi terhadap sistem demokrasi dalam negara ini.

“Kita semua telah melihat kesan buruk daripada tindakan ahli-ahli Parlimen yang lompat parti sehingga menyebabkan tumbangnya sebuah kerajaan yang telah mendapat majoriti sokongan rakyat.

“Tindakan itu (lompat parti) telah menyebabkan negara kita mengalami ketidakstabilan politik, kegawatan ekonomi termasuk kegagalan dalam pengurusan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kelulusan RUU Lompat Parti diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas pengundian belah bahagi dijalankan pada Khamis.

Sejumlah 209 ahli Parlimen menyokong RUU berkenaan yang antara lain boleh menyebabkan seseorang ahli Parlimen hilang kerusi dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti.

Sebanyak 11 ahli Parlimen tidak hadir manakala 54 orang terbabit dalam perbahasan selama dua hari itu.

Dalam pada itu Zuraidi berkata, pihaknya menyokong penuh pada RUU anti lompat parti yang telah di luluskan itu dan berharap ia dapat dilaksanakan segera bagi menghukum serta menyekat ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat.

“Tiada tempat yang terhormat yang selayaknya pada pemimpin yang melompat,” katanya.