Perkeso optimis sedia 55,000 peluang pekerjaan golongan rentan

Mohammed Azman
Mohammed Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yakin dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk menyediakan 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan sepanjang tempoh pelanjutan Program Jamin kerja-Insentif Penggajian (JKIP).

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, sasaran jumlah tersebut adalah bagi menyokong matlamat Program JKIP yang mahu mewujudkan sebanyak 300,000 peluang pekerjaan sepanjang tahun 2022.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pelanjutan Program JKIP yang telah tamat tempoh asalnya pada 30 Jun 2022, sewaktu merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 Isnin lalu.

“Lanjutan program ini akan memberikan tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja daripada sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing (program Malaysianization), orang kurang upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Program JKIP selama enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2022.

Menurutnya, dengan peruntukan sedia ada Program JKIP berjumlah RM2 bilion di bawah Bajet 2022, sebanyak RM475 juta bakal disalurkan sebagai insentif kepada para majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan dan membuat pengambilan daripada golongan terjejas terbabit.

Jelas beliau, sepanjang tempoh pelanjutan JKIP itu, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan serta bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil akan kekal seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, intervensi dan sokongan daripada kerajaan bagi merancakkan pasaran buruh menerusi pelanjutan program itu dilihat amat penting dengan mengambil kira situasi pengangguran yang berada pada kadar 3.8 peratus, lebih tinggi berbanding sebelum pandemik.

Mengulas mengenai penganjuran Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berakhir Rabu lalu, beliau berkata, ia dihadiri hampir 14,000 pengunjung terdiri daripada pencari kerja pelbagai kategori seperti lepasan sekolah, graduan, penganggur dan termasuk pekerja ingin mengembangkan kerjaya atau mencari peluang lebih baik.

“Ekspo kerjaya yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur selama 5 hari bermula 23 Julai lalu mencipta kejayaan apabila membantu 1,712 pencari kerja memperoleh pekerjaan manakala 10,698 pencari kerja pula berjaya ke peringkat temuduga kedua.

“Ekspo ini merupakan karnival kerjaya terbesar pernah dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Perkeso, di mana lebih 1,000 majikan daripada pelbagai industri dan perusahaan sosial mengambil bahagian dengan menawarkan lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan.

“Menariknya, peluang-peluang untuk pencari kerja menceburi sektor gig dan keusahawanan juga disediakan di ekspo kerjaya ini,” ujarnya.

Mohammed Azman berkata, penganjuran program itu turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai ekspo kerjaya terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan, Perkeso komited untuk terus mempergiat usaha dan memperkenal pelbagai inisiatif untuk merancakkan lagi pasaran buruh negara.

Menurutnya, Perkeso akan terus aktif melaksanakan intervensi awal bagi menambah baik pasaran buruh semasa bagi mengatasi isu ‘mismatch’, ‘underemployment’ dan juga kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor seperti pembuatan dan perhotelan.

“Perkeso meminta semua Keluarga Malaysia yang sedang mencari peluang pekerjaan, sama ada dalam kategori eksekutif dan bukan eksekutif, untuk berdaftar dengan portal MYFutureJobs.

“Pencari kerja akan diberikan akses kepada pelbagai peluang pekerjaan dan boleh menyertai karnival kerjaya serta program kebolehpekerjaan yang dianjurkan Perkeso di seluruh negara sepanjang tahun,” katanya.