Jenayah terancang: Seorang lagi didakwa ahli Geng Sakai

Seramai 22 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Julai dan Ogos lalu, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021. - Foto fail Bernama
Seramai 22 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Julai dan Ogos lalu, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ antara Januari 2015 dan Jun 2021. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, menjadikannya sebagai individu ke-24 didakwa sebagai ahli kumpulan jenayah terancang Geng Sakai, bermula tujuh tahun lalu.

G Rajasekeran, 32, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor di sini antara Januari 2015 dan 20 Jun 2021, dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Ab Manaff dan B Thavani manakala peguam Fakhrul Redha Paridul Adras mewakili tertuduh.

Semasa prosiding, Maryam Jamielah memohon agar kes ini dipindahkan dan dibicarakan bersama 23 tertuduh yang telah didakwa atas kesalahan sama di Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, kes itu sedang dibicarakan dengan seramai 20 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Hakim Nor Hasniah kemudiannya membenarkan permohonan tersebut.

Pada 13 Julai lepas, seramai 19 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng Sakai’ di antara Januari 2015 dan Jun 2021.

Mereka ialah Rosli Sahak (dipercayai ketua kumpulan itu yang digelar Sakai), A Ravindran, A Uthayakumar, S Sathiaseelan, T Kumar, A Kumaresan, N Tanasilan, Thirumal Raj, M Darshan, A Dineswaran, S Mohanraj dan R Nantha Kumar.

Tertuduh lain ialah S Gobinath, M Ravishankar, M Thinesh, N Tannish, S Sagadevan, Mohamad Faisal Mohamad Sharif dan G Sivanamtham.

Pada 13 Ogos, tiga lagi lelaki didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 22 Mei pula, perbicaraan kes membabitkan 22 lelaki itu berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini, di hadapan Datuk Collin Lawrence Sequerah.