Isyarat jelas politik matang

Ismail Sabri beramah mesra bersama ahli-ahli Parlimen setelah tamat persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Ismail Sabri beramah mesra bersama ahli-ahli Parlimen setelah tamat persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkenaan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti merupakan isyarat jelas bahawa ahli Parlimen mengamalkan politik matang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kehadiran 209 ahli Parlimen untuk mengundi dan menyokong RUU itu telah meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan serta pelaksanaan.

"Syabas kerana ahli-ahli Yang Berhormat berada di dalam dewan yang mulia telah menjalankan amanah rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, RUU itu terhasil selepas pelbagai sesi libat urus dan pandangan serta melalui Jawatankuasa Pilihan Khas secara bi-partisan melibatkan wakil parti-parti utama di dalam Dewan Rakyat.

"Terima kasih juga kepada semua 54 ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyertai sesi perbahasan dan memberikan pandangan mereka," katanya yang turut menyifatkan RUU tersebut penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

RUU tersebut diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Undi belah bahagian yang dimulakan pada jam 4.45 petang itu menyaksikan seramai 209 bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.