[VIDEO] Wan Junaidi ucap terima kasih kepada semua MP

Wan Junaidi ketika bercakap dalam sidang media di Pusat Media Parlimen pada Khamis.
Wan Junaidi ketika bercakap dalam sidang media di Pusat Media Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan kejayaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti sebagai satu kepuasan buat dirinya.

Ini kerana katanya, pelaksanaan RUU berkenaan merupakan antara perkara yang ditunggu ramai bukan sahaja kepada ahli Dewan Rakyat tetapi seluruh rakyat Malaysia yang mengharapkan adanya undang-undang sebagai ‘pengikat’ itu.

“Alhamdulillah hari ini, dengan sokongan yang begitu cemerlang daripada Dewan Rakyat, 209 ahli Parlimen yang hadir 100 peratus menyokong. Sebulat suara menyokong RUU ini.

“Kita telah berusaha untuk melaksanakan RUU ini semenjak bulan September tahun lepas lagi dan ia bermula dengan kita sendiri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri), Pejabat Peguam Negara.

“Kita juga telah membuat satu libat urus yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Ini lebih daripada apa yang saya buat RUU Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dahulu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Khamis.

Tambahnya, RUU itu juga disifatkan sebagai ulangan sejarah buatnya selepas kejayaan RUU MA63 sebelum ini yang turut di bawah tanggungjawabnya.

Wan Junaidi dalam masa sama turut mengakui tidak terbit perasaan gentar RUU larangan lompat parti yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pada Rabu di Dewan Rakyat akan ditolak memandangkan beliau cukup yakin ia akan disokong semua ahli Parlimen.

“Saya sangat yakin RUU ini akan dapat sokongan sebabnya kita telah mengadakan perbincangan dan libat urus dengan mereka. Alhamdulillah, sangat berpuas hati,” katanya.