Sulaiman minta siasat isu guru di Melaka alami stres

Sulaiman kiri ketika sidang akhbar selepas hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Rabu.
Sulaiman kiri ketika sidang akhbar selepas hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri memandang serius bilangan guru di Melaka yang dilaporkan mengalami tekanan dan stres.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, siasatan lanjut berhubung perkara itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca guru-guru mengalami stres hingga mengambil keputusan untuk bersara awal.

Beliau juga mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memaklumkan sebarang usaha mahupun cadangan yang dapat diketengahkan atau dibawa kepada kerajaan pusat.

"Begitu juga sistem atau kurikulum pembelajaran kali ini berbeza, guru-guru dikehendaki berada di sekolah tidak macam dulu habis jam 1 tengah hari, boleh balik.

"Kali ini seharian berada di sekolah dan membuat kerja-kerja lain selepas murid pulang, jadi banyak guru-guru yang mungkin stres dengan kerja sekolah dan urusan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, pada Rabu.

Sinar Harian pada Selasa menyiarkan seramai 648 guru di negeri ini dikenal pasti mengalami tekanan kemurungan ketika berkhidmat hingga menyebabkan mereka memilih untuk bersara awal.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, angka itu mewakili 4.63 peratus daripada 13,976 guru yang telah menjawab saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) yang diambil secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, saringan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan negeri yang dilakukan bagi mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru.