Pahang diminta jawab isu Tasik Chini bukan lagi pilihan UNESCO

Tasik Chini dikatakan tidak lagi memenuhi kriteria Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). (Gambar kecil: Ali Akbar)
Tasik Chini dikatakan tidak lagi memenuhi kriteria Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). (Gambar kecil: Ali Akbar)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang dituntut supaya memberi penjelasan berhubung status rizab biosfera Tasik Chini yang dikatakan tidak lagi memenuhi kriteria Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengerusi Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram), Ali Akbar Othman berkata, penjelasan mengenai perkara itu perlu didedahkan supaya rakyat tahu situasi sebenar dan penyelesaian yang akan diambil oleh kerajaan Pahang.

“Sebaiknya kerajaan Pahang jelaskan kenapa Tasik Chini dilucutkan sebagai rizab biosfera oleh UNESCO.

“Rakyat juga ingin mengetahui apakah penyelesaian yang akan diambil boleh kerajaan Pahang selepas pihak UNESCO meminta pihak berkuasa Malaysia mengemukakan pelan terperinci mengenai Rizab Biosfera Tasik Chini menjelang 30 September tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, sebuah portal tempatan mendedahkan tinjauan berkala pertama UNESCO Tasik Chini mendapati tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Laporan itu berkata pihak berkuasa Malaysia telah diminta menyediakan badan dunia dengan pengezonan terkini rizab biosfera 'mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera', butiran pengurusan rizab biosfera, dan pengesahan pejabat atau pengurus yang menyelaraskan aktiviti rancangan pengurusan rizab biosfera.

Di sebalik penemuan itu, pakar Program MAB UNESCO berpendapat, status 'Tasik Chini sebagai rizab biosfera tidak berisiko' dibatalkan pada ketika ini.

Mengulas lanjut pendedahan itu, Ali Akbar menzahirkan rasa dukacita terhadap status terbaru Tasik Chini itu.

Beliau menjelaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah menjangka perkara ini berlaku selepas mengetahui kerosakan alam semula jadi di Tasik Chini.

“Apa yang kita jangka terbukti telah berlaku dan sebelum ini kita sudah ura-ura kemusnahan teruk di kawasan Tasik Chini dan keadaannya kritikal serta kesan paling ketara adalah permukaan lombong yang dilaksanakan tanpa mematuhi piawaian.

“Tapi kerajaan Pahang sudah mengambil inisiatif dengan memulihkan semula kawasan terbabit dengan penanaman semula pokok,” katanya.

Ali Akbar menambah, bagaimanapun proses pemulihan itu mengambil tempoh lama dan berharap pihak UNESCO dapat mempertimbangkan usaha yang dilakukan kerajaan Pahang.