Konvensyen BN Selangor bincang isu semasa, hadapi PRU15

Noh (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian ketika Majlis Perasmian Kursus Keibubapaan di STDC pada Ahad.
Noh (dua dari kiri) menandatangani plak perasmian ketika Majlis Perasmian Kursus Keibubapaan di STDC pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor yang diadakan pada Ahad depan dijangka membincangkan pelbagai isu semasa termasuk persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, konvensyen yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, manakala perasmian penutup pula disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, lebih 500 ahli komponen BN dijangka menghantar wakil kepimpinan masing-masing di setiap Parlimen.

"Dalam konvensyen ini turut diadakan forum politik dan ekonomi yang mana ahli panelnya terdiri dalam kalangan tokoh ekonomi daripada kaum Melayu, India dan Cina.

"Selain itu, kita turut mengadakan bengkel dan hasil daripada forum dan bengkel itu nanti kita akan menghasilkan satu resolusi mengenai BN serta bagaimana cara memenangi semula negeri Selangor pada PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kursus Keibubapaan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di sini pada Ahad.

Jelas beliau, jentera BN Selangor juga diminta bersatu hati untuk menghadapi PRU15 menerusi kesepakatan kepemimpinan dan jentera parti masing-masing.

"Jentera BN di Selangor sememangnya sudah bersedia dan berharap dapat diperkukuhkan lagi bagi menghadapi PRU15," katanya.

Diminta mengulas mengenai bengkel keibubapaan itu, Noh berkata, bengkel itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menanam semangat silaturahim antara guru Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) dan ibu bapa.

Katanya, dunia pendidikan pada masa ini semakin mencabar dan di peringkat awal pendidikan kanak-kanak juga memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kecemerlangan.

"Saingan pendidikan ini bukan hanya tertumpu di peringkat universiti, sekolah menengah dan rendah sahaja, sebaliknya di peringkat Tadika juga juga dapat lihat satu persaingan sihat untuk membangunkan dunia pendidikan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara menyediakan perkembangan pendidikan unggul di rantau ini," katanya.