Peniaga didakwa cuba bunuh anggota polis

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim pada Khamis.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim pada Khamis.
A
A
A

KULIM - Seorang peniaga kuih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kulim pada Khamis atas enam pertuduhan termasuk cubaan membunuh seorang anggota polis.

Tertuduh, Chua Kai Choon, 45, dari Bedong didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Muhamad Khairul Syafiq Ahmad, 31, dengan cara melanggar menggunakan kenderaan lori pikap jenis Nissan Frontier di mana perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 9.15 pagi di Jalan Kulim-Serdang berdekatan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, 16 Julai lalu.

Akibat itu, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Pavitra Satha Sivam di hadapan Hakim Mirza Mohamad, manakala tertuduh diwakili Peguam Chong Seng Meng dan Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

Bagaimanapun, pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tidak memenuhi kriteria Seksyen 388 Kanun Tata Cara Jenayah.

Selain itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh sebagai pemandu lori pikap didakwa memandu bawah pengaruh dadah dan minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan cedera parah kepada Muhamad Khairul Syafiq dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di mana kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 (Akta 333/87).

Dia turut berdepan pertuduhan mengubahsuai struktur kenderaan yang tidak mematuhi kaedah-kaedah bawah Seksyen 6(1)APJ 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) APJ 1987(Akta 338/87) dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Rayal, Arthini Sathasivam di hadapan Majistret Noor Fazlina Musa.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin.

Dalam pertuduhan berasingan, tertuduh turut berdepan pertuduhan dengan sengaja telah menghalang tugas penjawat awam di mana ia merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Noor Fazlina menawarkan jaminan sebanyak RM2,500 dan seorang penjamin bagi pertuduhan tersebut.

Selain itu, dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis THC (ganja) yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15(1) dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.

Mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan seorang penjamin bagi pertuduhan tersebut.

Tarikh 16 Ogos ditetapkan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.