'Sungai Batu tercemar lebih tiga tahun'

Mohamad Ali (tengah) bersama petani dan pekebun memegang plakat jangan cemari sungai kami. Gambar kecil: Air sungai hitam didakwa dicemari sisa toksik dan bahan kimia.
Mohamad Ali (tengah) bersama petani dan pekebun memegang plakat jangan cemari sungai kami. Gambar kecil: Air sungai hitam didakwa dicemari sisa toksik dan bahan kimia.
A
A
A

MELAKA - Lebih 50 petani dan pekebun di Sungai Udang di sini mengalami kerugian ribuan ringgit apabila hasil pertanian diusahakan terjejas didakwa berpunca daripada air sungai yang tercemar.

Pencemaran Sungai Batu itu didakwa berpunca daripada pelepasan sisa toksik daripada tempat pelupusan sampah berhampiran kawasan pertanian seluas kira-kira 40 hektar itu.

Pengerusi Pekebun Kecil Paya Rumput Jaya, Mohamad Abd Rahman, 60, berkata, sebelum ini air sungai yang mengalir ke kampung mereka jernih, namun sumber air utama itu didakwa telah tercemar dengan bahan kimia sejak lebih tiga tahun lalu.

Mohammad
Mohammad

Menurutnya, pihaknya telah berbincang dengan syarikat swasta yang menguruskan sisa pepejal di kawasan pelupusan sampah itu, namun tidak wujud situasi menang-menang malah tiada sebarang pampasan diberikan kepada petani yang terjejas.

"Saya sendiri mengalami kerugian RM15,000, inikan pula petani dan pekebun lain.

"Kita pernah berbincang dan meminta pampasan, bagaimanapun pihak terbabit memberi alasan tidak mampu sedangkan mereka mendapat keuntungan, namun kami yang merana," katanya kepada pemberita ketika meninjau Sungai Batu di Kampung Paya Rumput Jaya di sini pada Rabu.

Rozita Wajiman, 42, yang menanam sayur-sayuran seperti kacang berkata, setiap kali musim menuai hasil, dia akan kerugian RM4,000 disebabkan tanamannya banyak terbantut dan rosak selepas menggunakan sumber air sungai berkenaan.

"Dulu pendapatan bolehlah melebihi RM4,000 namun sekarang hanya mencecah RM3,000. Itu belum lagi dengan kenaikan kos baja dan sebagainya.

"Harap sungai ini kembali jernih seperti sedia kala dan dapat petani gunakan tanpa dicemari sisa toksik," katanya.

Rosnani Rosnin, 39, yang mengusahakan tanah pertanian juga berharap isu air sungai tercemar itu menemui titik noktah setelah berlarutan beberapa tahun.

"Bukan sahaja air sungai hitam dan kotor malah mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan terutama ketika cuaca panas.

"Kalau dulu dapatlah guna air sungai, namun sekarang terpaksa mengharapkan air hujan agar tidak banyak tanaman yang rosak," katanya.

Bagi pemilik kebun durian, Tee Seng Hoo, 70, mendakwa pelbagai tanaman termasuk 20 batang pokok durian musang king yang ditanam sejak 20 tahun lalu musnah akibat pencemaran air sungai tersebut.

Seng Hoo (dua dari kiri) bersama anaknya menunjukkan gambar beberapa batang pokok durian miliknya musnah didakwa berpunca daripada air kawasan pelupusan sampah mengalir ke kebunnya.
Seng Hoo (dua dari kiri) bersama anaknya menunjukkan gambar beberapa batang pokok durian miliknya musnah didakwa berpunca daripada air kawasan pelupusan sampah mengalir ke kebunnya.

"Apa yang berlaku sangat mendukacita, saya terpaksa mengalami kerugian setiap tahun.

"Saya telah memanjangkan perkara ini ke pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masih tidak menemui jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Japerun berkenaan, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat pelupusan sampah itu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk melepaskan bahan kimia dan sisa toksik.

Menurutnya, pihaknya memberikan tempoh 14 hari kepada agensi dan jabatan kerajaan berkaitan untuk mengambil tindakan ke atas syarikat terbabit.

"Kita tidak menghalang sebarang pembangunan atau tempat pelupusan sampah, namun biarlah sisa-sisa itu dibuang secara sistematik.

"Seharusnya mereka mempunyai SOP yang ketat dalam usaha melepaskan air kotor," katanya.