Tiga faktor Siti Nuramira tidak didakwa: Ketua Pendakwa Syarie

Siti Nuramira Abdullah, 26, (dua dari kiri) ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas hadir di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Siti Nuramira Abdullah, 26, (dua dari kiri) ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas hadir di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi minggu lalu tidak didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu kerana mengambil kira tiga faktor.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan berkata, faktor pertama, keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Siti Nuramira Abdullah, 26, dibuat kerana mengelak wanita itu dituduh atas kes yang sama, di dua mahkamah berbeza.

Beliau berkata, mengikut jadual asal Siti Nuramira sepatutnya didakwa di mahkamah ini, mengikut Seksyen 58 (2) Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Seksyen 181 Akta 560 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

Menurutnya, faktor kedua, pertuduhan jenayah bawah seksyen 298A Kanun Keseksaan sudah dimulakan di Mahkamah Sesyen di sini pada 13 Julai lalu.

"Ia bagi memelihara tujuan syarak dari sudut pentadbiran keadilan, iaitu mengelakkan wanita itu dituduh di dua mahkamah yang berbeza, bagi mencapai matlamat yang sama iaitu untuk dihukum atas kesalahan yang dilakukan.

"Faktor ketiga, Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman yang lebih berat.

"Sesuai dengan maqasid iaitu matlamat syariah yang menekankan pendekatan ta’dib atau mendidik, dalam pentadbiran jenayah syariah, diharap dapat membawa kembali tertuduh ke arah amalan Islam sebenar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes berkenaan sudah didaftarkan pada 13 Julai lalu dan sebutan pertama ditetapkan pada keesokkan harinya, tetapi ditangguhkan pada 21 Julai.

Menurutnya, wanita itu ditahan pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada Selasa untuk siasatan lanjut.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Siti Nuramira dan teman lelakinya V Alexander Navin, 38, selesai membayar ikat jamin berjumlah RM40,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai, menggunakan akaun pertuduhan bukan kerajaan (NGO), hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL).

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan sesama Islam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, Alexander Navin, 38, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lalu.

Minggu lalu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam, menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung serta tudung, dan hanya memakai pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai riaksi netizen.

Susulan itu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pada 9 Julai lalu dan direman selama tiga hari manakala Alexander Navin ditahan pada 10 Julai.