Siti Nuramira tidak didakwa di Mahkamah Syariah

Pada Rabu, Siti Nuramira telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam. Foto Bernama.
Pada Rabu, Siti Nuramira telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi minggu lalu, Siti Nuramira Abdullah tidak akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Rabu.

Difahamkan, pendakwaan tidak diteruskan di mahkamah syariah kerana ia membabitkan tuduhan sama dengan kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Hukuman yang diperuntukkan di mahkamah sesyen lebih berat daripada hukuman di mahkamah syariah, jika disabitkan dengan kesalahan.

Tinjauan mendapati, media mula memenuhi lobi mahkamah sejak jam 8 pagi, untuk membuat liputan pendakwaan tersebut.

Namun sehingga jam 11 pagi, kelibat Siti Nuramira mahupun peguamnya, tidak kelihatan.

Sementara itu, paralegal kepada peguam R Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira, Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir berkata, Siti Nuramira sudah dilepaskan pada jam 10 malam, Selasa.

Hannann Syoffeeya berkata, beliau menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), memaklumkan bahawa wanita itu dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh jabatan itu.

"Sejurus dilepaskan, Siti Nuramira dibawa ke rumah ibu saudaranya di Kelana Jaya, Selangor sebelum dihantar pulang ke sebuah rumah di Petaling Jaya," katanya dalam satu kenyataan media pada pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Siti Nuramira (dua dari kanan) bergambar dengan dua peguamnya, di Kuala Lumpur sejurus dilepaskan oleh pihak Jawi, malam Selasa.
Siti Nuramira (dua dari kanan) bergambar dengan dua peguamnya, di Kuala Lumpur sejurus dilepaskan oleh pihak Jawi, malam Selasa.

Mencerita kejadian yang berlaku selepas ditahan Jawi, Hannann Syoffeeya berkata, pihaknya sudah bersedia untuk prosiding pendakwaan di mahkamah pada Rabu.

Bagaimanapun, pihaknya tidak berjaya mendapatkan seorang penjamin untuk membantu Siti Nuramira.

Katanya, mereka hanya berjaya mendapatkan seorang akauntan dari London yang baru pulang ke Malaysia, namun peguam syarie berasa lelaki terbabit tidak sesuai untuk menjadi penjamin.

Sementara itu, media gagal untuk mendapatkan kenyataan daripada Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, sejurus dilepaskan dengan ikat jamin di Mahkamah Sesyen di sini, Siti Nuramira ditahan penguatkuasa Jawi pada jam 10.30 pagi.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan sesama Islam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, kekasih Siti Nuramira, Alexander Navin, 38, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lalu.

Minggu lalu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam, menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung serta tudung, dan hanya memakai pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai riaksi netizen.

Susulan itu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pada 9 Julai lalu dan direman tiga hari manakala Alexander Navin ditahan pada 10 Julai.