'Peruntukan masjid RM1.6 juta dah lulus sejak zaman BN'

 Mohd Azhar Jamaluddin
Mohd Azhar Jamaluddin
A
A
A

TELUK INTAN - Peruntukan membaiki Masjid At Taqwa, Padang Tembak berjumlah RM1.6 juta merupakan permohonan dan kelulusan daripada kerajaan terdahulu ketika BN masih memerintah.

ADUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya mempunyai bukti termasuk dokumen permohonan dan kelulusan selepas Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mengumumkan dia berjaya membawa peruntukan berkenaan, baru-baru ini.

"Untuk rekod RM1.6 juta bagi Masjid At Taqwa adalah permohonan dan kelulusan semasa kerajaan BN sebelum PRU14, saya ada surat menyurat, malah kerja-kerja soil test telah pun selesai dijalan.

"Kini ada orang mengaku berjaya bawa RM1.6 juta, tidak mengapalah yang penting kita nak selesaikan isu mendapan masjid berkenaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Ditanya mengenai peruntukan RM150,000 bagi Masjid An Naim, Taman Seri Setia, yang diumumkan Kor Ming, Mohd Azhar memakluman itu adalah tanggungjawab Kor Ming sebagai wakil rakyat kerajaan hari ini.

"Alhamdulillah ada juga sedikit peruntukan yang disalurkan kepada Masjid An Naim, tetapi semasa zaman BN kami memberi peruntukan RM340,000 untuk Dewan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), bilik jenazah dan stor.

"Sebagai wakil rakyat kerajaan menjadi tanggungjawab mereka sebab peruntukan tersebut bukan daripada duit poket mereka tapi daripada duit rakyat yang diurus oleh agensi kerajaan," katanya.

Mohd Azhar turut memaklumkan semasa BN menjadi kerajaan pihaknya menerima peruntukan menaik taraf masjid dan surau dalam Parlimen Teluk Intan sebanyak RM1 juta setiap tahun untuk diagihkan kepada DUN Changkat Jong dan Pasir Bedamar.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap Kor Ming boleh juga bawa peruntukan yang sama atau lebih ke Teluk Intan berkaitan masjid dan surau setiap tahun," katanya.

Sebelum ini, Kor Ming dalam kenyataan memaklumkan pihaknya berjaya membawa peruntukan RM.6 juta bagi Masjid At Taqwa dan RM150,000 Masjid An Naim di Teluk Intan diluluskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.