Tiada kompromi perlakuan hina agama, provokasi permusuhan

Ahmad Marzuk
Ahmad Marzuk
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan atau tindakan menghina agama yang mampu mencetus provokasi serta permusuhan di kalangan masyarakat di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwah Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan, sebarang perbuatan menghina agama akan dikenakan tindakan tegas sekali gus dihadapkan ke muka pengadilan.

“Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi sebarang perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama, dikenakan hukuman penjara maksimum selama lima tahun jika sabit kesalahan.

“Begitu juga Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan bagi perlakuan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Dalam pada itu Ahmad Marzuk turut menyeru rakyat untuk lebih bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian beragama dan menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau berkata, perbuatan menghina sama ada terhadap Islam atau agama lain perlu dihentikan demi keharmonian antara kaum di negara ini.

“Pihak berkuasa sama ada polis atau penguatkuasa agama akan mencari anda hingga ke lubang cacing.

“Nasihat saya kepada orang awam, janganlah bertindak di luar batasan undang-undang dalam perkara ini. Sekalipun kita sayangkan agama, jangan mengambil tindakan sendiri. Serahkan tindakan biadab ini kepada pihak berkuasa dan mengikut lunas undang-undang yang ada.

“Sebarang tindakan provokasi dan melakukan kecederaan kepada mana-mana pihak juga adalah suatu kesalahan jenayah dan boleh didakwa di bawah Seksyen 321 Kanun Keseksaan,” ujarnya.