Kedah sasar tanam 2.75 juta pokok

Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menanam pokok Merbau pada Program Penanaman Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 di Jitra. Turut kelihatan Muhammad Sanusi (lima kiri).
Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli menanam pokok Merbau pada Program Penanaman Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 di Jitra. Turut kelihatan Muhammad Sanusi (lima kiri).
A
A
A

JITRA - Kedah menyasarkan untuk menanam sebanyak 2.75 juta pokok dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025 bagi menjayakan Program Penghijauan Malaysia dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, berdasarkan sasaran ditetapkan, sebanyak 550,000 pokok akan ditanam pada setiap tahun dalam tempoh lima tahun tersebut.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kedah akan membantu Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) untuk menjalankan penanaman semula di kawasan hutan terosot melalui pemberian peruntukan perbelanjaan pembangunan P23.

"Pada tahun 2021, penanaman pokok di seluruh Kedah telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 623,468 pokok. Bagi tahun 2022 pula, sebanyak 220,422 pokok telah berjaya ditanam di Kedah sehingga 30 Jun 2022.

"Jumlah keseluruhan tanaman pokok di Kedah dari tahun 2021 hingga Jun 2022 adalah berjumlah 843,890 pokok dan jumlah sasaran akan dapat dicapai melalui usaha yang berterusan antara JPNK bersama-sama dengan rakan strategik mereka.

"Antaranya adalah seperti Risda, Felcra, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Universiti Awam dan Swasta, NGO serta orang awam," katanya semasa berucap pada Program Penanaman Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 di Jitra pada Ahad.

Majlis tersebut disempurnakan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kedah di Tasik Darulaman, dekat sini.

Muhammad Sanusi berkata, penanaman semula pokok-pokok ini melibatkan kawasan-kawasan Hutan Darat dan Hutan Paya Laut di seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Kedah.

Menurutnya, kawasan HSK yang terosot atau berkualiti rendah ditanam bagi memastikan kualiti dirian hutan tersebut dapat dipulihkan bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat melalui pembekalan udara dan air yang bersih seterusnya dapat mengurangkan pemanasan global yang melanda.

"Kedah merupakan negeri yang kaya dengan khazanah alam. Tanahnya yang berkeluasan 942,600 hektar di mana 36 peratus daripada keluasan ini merupakan kawasan berstatus HSK yang seluas 344,175.26 hektar dan hutan jenis ini diklasifikasikan kepada dua iaitu Hutan Perlindungan dan Hutan Pengeluaran.

"Negeri ini mempunyai Hutan Perlindungan yang berkeluasan 137,263.33 hektar (39.9 peratus) dan Hutan Pengeluaran berkeluasan 206,551.93 hektar (60.1 peratus). Terdapat sebanyak 52 HSK yang telah diwartakan di Kedah bermula dari tahun 1931 sehingga 2022. Ianya selaras di bawah seksyen 10(1) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985," ujarnya.