Lelaki hilang ketika menjala ditemui lemas

A
A
A

TAPAH - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjala ikan di sebuah lombong di Jalan Bidor-Teluk Intan di sini pada Jumaat ditemukan lemas.

Mayat M Krisnan, 45, dijumpai oleh pasukan penyelamat sekitar jam 9.21 pagi pada Sabtu di tebing lombong berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mangsa berjaya ditemui hampir 20 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.

"Aktiviti pencarian diteruskan pagi ini dengan tumpuan pencarian di kawasan jaring milik mangsa yang ditemui semalam (Jumaat).

"Dua bot digunakan dalam operasi itu dengan lingkungan jarak 30 meter dari tebing ke lokasi jaring mangsa dengan kaedah pusaran air dan bentuk lapan," katanya di sini.

Menurut beliau, dengan kaedah tersebut berjaya akhirnya berjaya ditemui di tebing lombong.

Sayani berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Seramai 29 anggota melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Unit Anjing Pengesan (K9), pegawai Zon 2 dan polis.

"SAR yang diketuai Komander Operasi, A Ravi tamat pada jam 10 pagi," katanya.