LHDN minta Najib bayar RM1.5 bilion

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menghampiri tarikh perbicaraannya di mahkamah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta membayar RM1.5 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

The Edge Markets melaporkan, LHDN sudah memaklumkan perkara tersebut kepada Najib menerusi satu surat yang dihantar kepada Ahli Parlimen Pekan itu kira-kira seminggu lepas.

Menurut sumber yang dipetik dari laporan itu, bil untuk tempoh dari 2001 hingga 2017 itu merupakan jumlah lain daripada cukai pendapatan yang dibayar Najib selama tujuh tahun.

Kata sumber itu lagi, siasatan LHDN mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan berjumlah RM4 bilion dalam tempoh itu dan ia termasuklah RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya yang didakwa datang dari 1MDB.

Dalam isu dana tersebut, Najib menegaskan wang itu adalah derma diterima beliau daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Sementara itu, pakar cukai dalam laporan itu berkata, wang dalam akaun Najib masih dianggap boleh dikenakan cukai dan salah jika tidak mengisytiharkannya sebagai pendapatan.

"Jika pendapatan itu dari hasil haram, terpulang kepada agensi seperti polis atau SPRM untuk siasat jika berlakunya jenayah. LHDN hanya menguruskan soal cukai pendapatan," katanya dipetik sebagai berkata.

Najib kini berdepan 42 tuduhan jenayah dan daripada jumlah tersebut, 10 tuduhan berhubung SRC International, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Kes beliau mendapat perhatian seluruh negara malah ada desakan supaya kes perbicaraannya disiarkan secara langsung kepada masyarakat.

Sehingga kini, Najib mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dikenakan terhadapnya.