Banjir Baling: 1,059 pelajar mula persekolahan esok

Abdul Azeez bersama sebahagian daripada pelajar yang menerima bantuan persekolahan akibat terjejas bencana banjir ketika hadir ke Program Agihan Set Seragam Sekolah bagi mangsa terkesan banjir di SMK Jerai, Kupang, Baling pada Sabtu.
Abdul Azeez bersama sebahagian daripada pelajar yang menerima bantuan persekolahan akibat terjejas bencana banjir ketika hadir ke Program Agihan Set Seragam Sekolah bagi mangsa terkesan banjir di SMK Jerai, Kupang, Baling pada Sabtu.
A
A
A

BALING - Seramai 1,059 pelajar dari 17 buah sekolah rendah dan 10 buah sekolah menengah yang terjejas banjir dan kepala air di Kupang bakal memulakan persekolahan pada Ahad.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim berkata, kesemua pelajar diberi kelonggaran memakai baju biasa sekiranya masih belum dapat menyediakan uniform sekolah akibat terjejas bencana.

Menurutnya, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baling telah mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah terlibat membenarkan pemakaian baju biasa sekiranya mangsa tidak sempat menyediakan pakaian sekolah pada hari pertama persekolahan selepas ditimpa bencana.

"PPD bagi tahu kalau belum ada baju sekolah, boleh datang pakai baju biasa, pakai t-shirt pun tak apa, mereka boleh ambil sumbangan uniform baharu di sekolah masing-masing yang kita sediakan buat mangsa terjejas banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Agihan Set Seragam Sekolah bagi mangsa terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Kupang, di sini pada Sabtu.

Jelasnya, kesemua pelajar terlibat telah diperuntukkan uniform persekolahan baharu dalam usaha menyuntik semangat dan motivasi agar meneruskan persekolahan seperti biasa.

Menurut Abdul Azeez, penyerahan baju sekolah di SMK Jerai dibuat bermula 8 pagi hingga 8 malam Sabtu.

"Jika masih ada yang tak sempat ambil baju sekolah, mereka boleh pakai baju biasa dan ambil di sekolah esok (Ahad) malah kami menyediakan sebanyak 1,500 uniform sekiranya terdapat pelajar yang tercicir," katanya.

Katanya, sebanyak 1,000 set pakaian sekolah termasuk beg dan kasut disediakan Pusat Khidmat Parlimen Baling manakala 500 set lagi disumbangkan UDA Holding Berhad.

Abdul Azeez turut berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) Kejar Akhirat Bersama (KAB) dari Gombak yang turut menyediakan 700 set alat tulis dan botol air dalam majlis sama.

Dalam perkembangan lain, katanya, mangsa dari tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) sudah mula pulang ke rumah bagi proses pembersihan, manakala 17 mangsa yang kehilangan rumah akibat musnah dan hanyut telah diberikan bantuan wang ihsan sewa rumah selama enam bulan dan berpindah ke rumah sewa masing-masing.

Sementara itu, penerima, Aidilazhar Abu Hasan, 49, berkata, pemberian baju sekolah sedikit sebanyak meringankan beban penyediaan dua anak berusia 13 dan 16 tahun.

Selain itu, Hashimah Md Yusof, 52, berkata, bantuan baju sekolah amat bermakna buat seorang anak perempuan berusia 16 tahun memandangkan baju sekolah sedia ada terkena lumpur akibat banjir 4 Julai lalu.

Seorang lagi penerima, Nurul Sobihah Abdul Rahman, 41, berkata, amat bersyukur setelah tiga anak tersenarai sebagai penerima bantuan.

Nurul Sobihah bersama dua anak, Mohd Alim Yasir Sobri, 12 (kiri) dan Mohd Hazim Rusyaidi, 9, menerima bantuan persekolahan akibat terjejas bencana di Kupang 4 Julai lalu.
Nurul Sobihah bersama dua anak, Mohd Alim Yasir Sobri, 12 (kiri) dan Mohd Hazim Rusyaidi, 9, menerima bantuan persekolahan akibat terjejas bencana di Kupang 4 Julai lalu.

"Saya ada lima anak semua yang masih bersekolah. Masa kejadian, dua lagi anak ada di asrama, jadi pakaian dan peralatan depa masih elok.

"Alhamdulillah dapat bantuan untuk tiga orang umur 9,12 dan 15, lega sangat," katanya.