Saran kerajaan jadikan merokok kesalahan syariah

Kerajaan disarankan mengambil langkah yang lebih drastik dengan menjadikan perbuatan merokok sebagai salah satu kesalahan jenayah syariah. Gambar kecil: Muzaffar
Kerajaan disarankan mengambil langkah yang lebih drastik dengan menjadikan perbuatan merokok sebagai salah satu kesalahan jenayah syariah. Gambar kecil: Muzaffar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan mengambil langkah yang lebih drastik dengan menjadikan perbuatan merokok sebagai salah satu kesalahan jenayah syariah dalam usaha mewujudkan rakyat Malaysia yang lebih sihat serta tidak merokok khususnya dalam kalangan umat Islam.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, langkah drastik itu perlu diberi pertimbangan serius bagi melindungi umat Islam khususnya belia daripada terjebak dengan sebarang perkara ataupun aktiviti yang kurang sihat pada diri mereka sendiri serta orang sekeliling.

Katanya, bagi umat Islam, isu merokok perlu dipandang serius kerana sudah wujud fatwa jelas mengenai pengharaman rokok dalam negara kita apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan bahawa 'Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan'.

"Keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu jelas menunjukkan bahawa fatwa pengharaman rokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut iaitu sudah lebih 24 tahun dan ia masih kekal sehingga sekarang.

"Agama Islam juga melarang keras umatnya melakukan sebarang perkara yang membawa kemudaratan serta merugikan.

"Ini selaras dengan firman ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud 'Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan'," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Muzaffar menjelaskan, walaupun terdapat pelbagai jenis kempen kesedaran dilakukan jabatan agama, masjid serta surau mengenai perkara ini, namun ia juga dilihat masih tidak memadai dan efektif untuk mengekang masalah ketagihan merokok di kalangan umat Islam itu sendiri.

Ujarnya, lebih membimbangkan masalah merokok juga dilihat telah mula menular ke kalangan generasi muda yang masih bersekolah.

"Oleh itu fatwa pengharaman rokok seperti yang telah dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 perlu dijana sebagai satu peruntukan undang-undang yang lebih jelas bagi mengekang umat Islam dalam negara ini daripada terus merokok.

"Cadangan ini dapat dilakukan melalui undang-undang kesalahan jenayah syariah sedia ada dalam negara kita," katanya.

Beliau menegaskan, penting untuk diketahui, walaupun pada masa kini terdapat beberapa kesalahan jenayah syariah seperti berjudi, minum minuman yang memabukkan, pelacuran, khalwat dan banyak lagi yang telah diperuntukkan, tiada seksyen atau peruntukan khusus mengenai kesalahan merokok di bawah akta kesalahan jenayah syariah negeri-negeri.

Tambah Muzaffar, yang ada pun cuma Seksyen 15 yang memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang 'Tidak menghormati Bulan Ramadan'.

"Oleh demikian, adalah penting satu seksyen khusus diperkenalkan di bawah undang-undang kesalahan jenayah syariah dalam negara kita bagi menjadikan tindakan menghisapkan rokok serta bahan-bahan yang memiliki persamaan dengan rokok sebagai satu kesalahan jenayah syariah.

"Ini bagi memberi satu isyarat yang lebih jelas serta memberi satu peringatan kepada umat Islam dalam negara kita bahawa merokok membahayakan dan merupakan satu kesalahan," tegasnya lagi.

Bagaimanapun, Muzaffar berkata, untuk menjadikan merokok itu sebagai salah satu kesalahan syariah dalam negara kita, ia mungkin akan mengambil masa yang lama kerana perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa kerajaan negeri seperti yang jelas termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Maka terpulanglah kepada setiap kerajaan negeri dalam negara kita untuk mempertimbangkan cadangan yang telah dikemukakan dengan teliti.

"Pihak kerajaan boleh mempertimbangan untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan ini dengan lebih teliti sebelum sebarang kata putus diberikan terhadapnya," kata beliau.