YWM lakar sejarah terbit dana dagangan pertukaran wakaf pertama di dunia

Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berkolaborasi dengan Eq8 Capital Sdn Bhd (Eq8) terbit dana dagangan pertukaran berciri wakaf pertama di dunia.
Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) berkolaborasi dengan Eq8 Capital Sdn Bhd (Eq8) terbit dana dagangan pertukaran berciri wakaf pertama di dunia.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang merupakan entiti wakaf peringkat kebangsaan melakar sejarah apabila berjaya menerbitkan dana dagangan pertukaran berciri wakaf (Waqf ETF) pertama di dunia.

YWM dalam satu kenyataan berkata, Waqf ETF merupakan produk pelaburan Dana Unit Amanah Islamik dengan elemen wakaf yang mana 50 peratus daripada pendapatan dijana pelaburan tersebut.

Menurutnya, ia akan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf dan baki 50 peratus lagi akan disalurkan kepada mereka sebagai keuntungan pelaburan.

“Waqf ETF dijangkakan akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun ini, secara langsung memudahkan bakal pelabur untuk membuat pelaburan dalam produk.

“Ia berbeza dengan dua produk yang telah dilancarkan oleh YWM sebelum ini, yang mana bakal pelabur hanya boleh membuat pelaburan melalui pengedar-pengedar dana disahkan oleh Pengurus Dana Kenanga Investors Berhad sahaja,” kata YWM dalam satu majlis pengumuman kerjasama dengan Eq8 Capital Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah YWM, yayasan berkenaan akan berperanan sebagai pengurus waqaf kepada dana Waqf ETF dan setiap pemberian yang diterima itu akan diagihkan dalam pelbagai sektor seperti kesihatan, pendidikan, sekuriti makanan, tenaga hijau dan lain-lain.

Kata kenyataan itu, agihan tersebut dilakukan bagi membolehkan manfaatnya dinikmati lebih ramai masyarakat secara holistik.

Sebelum ini, YWM telah menjalin kerjasama dengan Kenanga Investors Berhad dalam mewujudkan dua produk pelaburan Dana Unit Amanah Islamik dengan elemen wakaf.

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian daripada pendapatan yang dijana daripada pelaburan tersebut akan disumbangkan oleh pelabur sebagai wakaf, iaitu Kenanga Waqf Al Ihsan Fund dan Kenanga Sustainability Series: Emergency Musa’adah Fund.

“Pewujudan produk seumpama ini adalah lanjutan daripada pelancaran Waqf Featured Fund Framework oleh Suruhanjaya Sekuriti pada bulan November 2022 dan Garis Panduan Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam mengenai wakaf,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!