Risda agih lebih RM900,000 untuk dividen TSK

A
A
A

Mohd Shahar (enam dari kiri) dan Mohd Salim (lima dari kanan) bersama wakil penerima dividen TSK dan penerima bantuan kawalan penyakit luruhan daun pada Program Pekebun Kecil Makmur dan Majlis Penyampaian Dividen TSK Risda 2022 di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Goh di sini pada Khamis.
Mohd Shahar (enam dari kiri) dan Mohd Salim (lima dari kanan) bersama wakil penerima dividen TSK dan penerima bantuan kawalan penyakit luruhan daun pada Program Pekebun Kecil Makmur dan Majlis Penyampaian Dividen TSK Risda 2022 di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Goh di sini pada Khamis.

KUANTAN- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengagihkan RM 961,957 sebagai dividen Tanam Semula Komersil (TSK) kepada peserta tiga TSK di bawah Parlimen Paya Besar untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, seramai 130 peserta menerima dividen tersebut terdiri daripada peserta TSK Nadak Seberang (RM 207,697), TSK Orang Asli Bukit Bangkong (RM345,000) dan TSK Orang Asli Gedong Siam ( RM409,260).

Menurutnya, setiap peserta menerima dividen antara RM1,400 hingga RM2,000 sebulan.

"Jumlah dividen yang diagihkan berbeza antara peserta kerana ia bergantung kepada keluasan tanah dan harga semasa getah,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pekebun Kecil Makmur dan Majlis Penyampaian Dividen TSK Risda 2022 di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Goh di sini pada Khamis.

Mohd Shahar (empat dari kiri) dan Mohd Salim (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Program Rawatan Dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun (LDP)
Mohd Shahar (empat dari kiri) dan Mohd Salim (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Program Rawatan Dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun (LDP)

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah Risda, Datuk Abdullah Zainal.

Mohd Shahar berkata, pada majlis itu, seramai 123 penerima hadir dan menerima dividen tunai RM1,000 manakala bakinya akan disalurkan ke dalam akaun peserta dalam masa terdekat oleh Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) selaku ejen mengurus projek TSK.

Sementara itu katanya, Risda menyediakan RM508 juta sebagai peruntukan pembangunan bagi membantu golongan pekebun kecil getah seluruh negara tahun ini.

Beliau berkata inisiatif itu melibatkan program pembangunan kawasan bertanam getah, program peningkatan produktiviti dan program pembangunan semula hasil baharu.

"Selain itu, RM18 juta diperuntukKan untuk Program Rawatan Dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun (LDP) kepada pekebun kecil seluruh negara.

"Risda Pahang menerima RM79 juta untuk program pembangunan pekebun kecil getah di negeri ini dan RM 4.4 juta disalurkan untuk membantu golongan itu yang terkesan dengan penyakit luruhan daun," katanya.

Mohd Shahar (empat dari kanan) mengagihkan dividen tunai kepada penerima pada Program Pekebun Kecil Makmur dan Majlis Penyampaian Dividen TSK Risda 2022.
Mohd Shahar (empat dari kanan) mengagihkan dividen tunai kepada penerima pada Program Pekebun Kecil Makmur dan Majlis Penyampaian Dividen TSK Risda 2022.

Tambah beliau, TSK merupakan program tanam semula melalui penyatuan

kebun kecil yang diuruskan oleh RPSB dari peringkat pembangunan sehingga pengeluaran dan pemasaran hasil untuk keluasan tanaman sekurang-kurangnya 40 hektar atau lebih.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shahar berkata, cadangan Risda untuk menetapkan harga lantai getah kepada RM3.50 daripada RM2.50 ketika ini akan dibawa untuk pertimbangan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, cadangan itu perlu kepada kajian dan penelitian secara menyeluruh kerana melibatkan implikasi kewangan yang besar.

"Perkara ini juga perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara memandangkan apabila harga lantai baharu bagi getah ini ditetapkan, kerajaan perlu menampung kenaikan itu melalui inisiatif pengeluaran getah (IPG)," katanya.

Sebelum itu, Mohd Salim mencadangkan kenaikan harga lantai getah kepada RM3.50 sebagai jaminan kepada pendapatan pekebun kecil selain mengekalkan keluasan tanaman getah di negara ini.

Mohd Shahar turut hadir meraikan pekebun kecil Risda pada Majlis Silaturahim dan Ramah Mesra Pekebun Kecil Risda Parlimen Paya Besar di Dewan Datuk Seri Abdul Manan di sini.

Dalam ucapannya, beliau menghargai usaha Risda dalam meningkatkan taraf hidup pekebun kecil di kawasan tersebut.

Sementara itu, Mohd Salim dalam ucapan aluannya berkata, Risda sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup pekebun kecil melalui aktiviti ekonomi tambahan selain kebergantungan kepada sumber getah.

Menurutnya, antara yang ditekankan sasaran peningkatan pendapatan RM4,500 bagi setiap isi rumah pekebun kecil getah di negara ini menjelang 2025.

Menurutnya, pada masa sama, agensi itu juga turut meneroka hasil-hasil baharu termasuk dalam pengeluaran makanan bagi membantu mengurangkan kebergantungan bekalan makanan dari luar negara.

"Risda melalui anak syarikatnya Risda Livestock Sdn Bhd mengusahakan ternakan lembu untuk bekalan daging di pasaran negara ini.

"Ketika ini, syarikat ini mampu membekalkan kira-kira 6,000 ekor lembu setahun," katanya.

Beliau berkata, Risda juga turut meneroka pengeluaran makanan ternakan melalui tanaman jagung yang diusahakan di ladangnya di Perlis.

Dividen TSK bantu tingkat pendapatan masyarakat Orang Asli

Sementara itu, pendapatan yang diterima hasil dividen TSK Risda di negeri ini telah membantu mengubah taraf hidup dan ekonomi peserta.

Bedan a/l Hamzah
Bedan a/l Hamzah



Wakil TSK Kampung Orang Asli (KOA) Bukit Bangkong, Bedan a/l Hamzah, 44 berkata, hasil dividen yang diterima setiap bulan itu tambahan kepada pendapatan diperoleh peserta yang kebanyakannya mempunyai pekerjaan lain.

Menurutnya, projek TSK itu juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

"Saya berterima kasih kepada pihak Risda atas inisiatif ini yang banyak membantu mengubah kehidupan masyarakat orang asli termasuk di KOA Bukit Bangkong ini," katanya ketika ditemui pada Program Pekebun Kecil Makmur dan Majlis Penyampaian Dividen TSK Risda 2022 di Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Goh di sini pada Khamis.

Bedan yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, terdapat 50 peserta TSK KOA Bukit Bangkung yang menerima manfaat dari inisiatif Risda itu.

Satar a/l Mat
Satar a/l Mat



Manakala, Batin Kampung Orang Asli Gedung Siam di sini, Satar a/l Mat, 52 berpuas hati dengan dividen TSK yang diterima setiap bulan.

Katanya, melalui pulangan itu, peserta dapat menikmati kehidupan lebih baik.

"Harapnya kadar dividen ini dapat dikekalkan atau ditingkatkan lagi pada masa akan datang," katanya.

Satar berkata, terdapat 38 peserta TSK dari Kampung Orang Asli Gedung Siam menerima manfaat inisiatif ITU.