Bot karam: Seorang lagi mangsa ditemukan

Mangsa kedua ditemukan oleh nelayan tempatan di Pulau Kendi.
Mangsa kedua ditemukan oleh nelayan tempatan di Pulau Kendi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lagi krew bot dari Indonesia yang hilang dan karam pada Rabu lalu ditemukan selamat oleh nelayan tempatan di pantai di Pulau Kendi di sini pada pagi, Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, satu laporan diterima pada jam 7.50 pagi berhubung penemuan lelaki warga Indonesia tersebut.

Menurutnya, mangsa ditemui terdampar di pesisiran pantai dalam keadaan lemah selepas hilang empat hari.

"Ketika ditemui nelayan tempatan, mangsa meminta bantuan dan dalam keadaan lemah. Sebaik menerima maklumat tersebut, bot PERKASA 1220 Maritim Malaysia yang dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada hari ketiga terus ke lokasi.

"Kita mengambil mangsa daripada bot nelayan dan membawanya ke Jeti Polis Marin Batu Uban menggunakan bot PERKASA 1220 Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa akan diambil keterangan bagi mengesahkan bahawa dia merupakan salah seorang kru bot yang karam dalam Operasi CARILAMAT yang diaktifkan.

Beliau menambah, mangsa dikenali sebagai Zulham Efendi Marwani berusia 31 tahun.

"Mangsa pertama bot karam yang terselamat iaitu Aswin berusia 43 tahun telah diserahkan oleh wakil Maritim Pulau Pinang, Leftenan Komander Maritim, Mohd Hafidz Abd Aziz kepada Kedutaan Indonesia yang diterima oleh Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, Bambang Suharto pada jam 10 pagi tadi (Jumaat)," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditemu bual, Zulham berpaut pada jaket keselamatan selama empat hari di lautan sebelum terdampar di pesisiran pantai.

"Kapal kami dalam perjalanan menuju ke Thailand untuk mengambil bekalan makanan sebelum karam di lautan. Selama empat hari saya hanya terapung dengan bantuan jaket keselamatan.

"Saya bersyukur kerana terselamat dan ketika terapung saya hanya ingat ALLAH sahaja,'' katanya.

Pada Rabu, empat kru warga Indonesia hilang manakala seorang ditemui selamat selepas bot yang dinaiki mereka karam pada jam 7 pagi.

Laporan mengenai kejadian diterima pada jam 12.25 tengah hari daripada pemilik sebuah bot nelayan tempatan yang memaklumkan penemuan seorang lelaki sedang terapung pada kedudukan kira-kira 7.5 batu nautika barat Sungai Kongsi, Balik Pulau.

Hasil temu bual awal mangsa yang terselamat, Aswin, berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun telah keluar ke laut dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia.