MAIPk laksana pelbagai inisiatif bangunkan tanah wakaf

 Shahrul Azam Shaari
Shahrul Azam Shaari
A
A
A

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah memajukan 85 peratus daripada 8,000 hektar tanah wakaf yang dianggarkan ada di negeri ini dengan pelbagai pembangunan untuk manfaat ummah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, pemajuan tanah-tanah wakaf yang terbahagi kepada wakaf khas dan wakaf am dilaksanakan bagi tujuan ibadah serta pelbagai jenis pembangunan.

Antara projek besar yang telah dilaksanakan oleh MAIPk ialah projek pembangunan hotel bertaraf tiga bintang di tanah wakaf khas Masjid Melayu, Taiping dan pembinaan Pusat Hemodialisis Wakaf dengan peruntukan berjumlah RM3.3 juta di atas tanah wakaf Masjid Kampung Dato’ Sri Kamaruddin, Manjung.

"Enakmen Wakaf (Perak) 2015 telah diwujudkan bagi membantu urus tadbir pembangunan hartanah wakaf secara teratur dan efisien. Pewujudan enakmen ini telah banyak membantu Pengurusan MAIPk menguruskan pelbagai projek berimpak kecil, sederhana ataupun besar sama ada melalui kaedah bina sendiri, usaha sama atau pajakan.

"Peruntukan yang digunakan untuk membangunkan tanah wakaf ini diperoleh daripada sumber pendapatan MAIPk sendiri, wakaf tunai mahupun daripada peruntukan kerajaan persekutuan," katanya menerusi kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Shahrul Azam berkata, bagi projek berskala kecil, MAIPk bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) membangunkan bazar wakaf yang dibina dalam kawasan masjid.

Jelasnya, terdapat lima lokasi bazar wakaf berkenaan iaitu di Masjid Daerah Taiping, Masjid Aziziah Hutan Melintang, Masjid Sultan Idris Shah Slim River, Masjid Sultan Idris Shah II dan Masjid Kledang Jaya, di sini.

Menurutnya, selain daripada pembangunan infrastruktur, MAIPk juga bergiat aktif dalam pembangunan perladangan di atas tanah wakaf dengan membangunkan seluas 740 hektar tanah di Mukim Sungkai, Daerah Batang Padang bagi tujuan saraan masjid dan surau seluruh Perak.

Jelas Shahrul Azam, selain itu, tanah seluas 2,000 hektar di Mukim Sungai Siput turut dibangunkan bagi tujuan pertanian iaitu tanaman kelapa sawit bagi tujuan saraan sekolah agama rakyat negeri.

Beliau berkata, MAIPk juga telah merancakkan lagi pembangunan di atas tanah wakaf melalui projek-projek di bawah kutipan dana Wakaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) menerusi projek Pembangunan Kediaman Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di Kuala Kangsar dan Pusat Perniagaan - Wakaf Waqf Business Centre (WBC) di Slim River, Chemor serta Simpang Pulai.

Bagaimanapun katanya, walaupun di Perak mempunyai Enakmen Wakaf (Perak) 2015 untuk mentadbir dan menguruskan hartanah wakaf, namun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh MAIPk dalam membangunkan hartanah wakaf di negeri ini.

Menurutnya, antara kekangan dihadapi MAIPk termasuklah sumber kewangan yang terhad untuk melaksanakan projek pembangunan di tanah wakaf yang berpotensi serta jumlah dan kepakaran kakitangan yang tidak mencukupi.

"Majoriti tanah wakaf adalah kategori wakaf khas bagi tujuan masjid, surau, sekolah agama rakyat, perkuburan dan lain-lain yang pembangunannya terikat dengan hasrat pewakaf.

"Manakala bilangan wakaf am agak terhad dan sukar dibangunkan berdasarkan lokasi yang tidak strategik, berkongsi milik, keadaan muka bumi yang tidak sesuai, saiz yang kecil dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi isu-isu tersebut, MAIPk telah melantik syarikat milikan penuh mereka iaitu PKEINPK Sdn Bhd (PSB) untuk melaksanakan kajian dan seterusnya pembangunan di atas tanah wakaf.