Hina Islam: Yadim hasrat temui Rizal, Siti Amirah

Nasrudin menyampaikan penghargaan kepada wakil Sinar Harian sempena Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Yadim Bersama Rakan Media di Putrajaya pada Jumaat.
Nasrudin menyampaikan penghargaan kepada wakil Sinar Harian sempena Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Yadim Bersama Rakan Media di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berhasrat untuk bertemu dengan pemilik kelab komedi Crackhouse, Rizal Van Geyzel dan wanita yang didakwa menghina Islam, Siti Amirah Natasha Abdullah.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan memberi penjelasan mengenai Islam kepada kedua-dua individu tersebut dalam pertemuan itu.

"Apa yang telah berlaku itu adalah satu episod malang kepada sebuah negara yang bertamadun," katanya.

Menurutnya, umat Islam tidak seharusnya sendiri menghina agama yang mereka anuti.

"Ini satu perkara yang mengecewakan dan memalukan, oleh kerana itu kami sebagai kapasiti dakwah di Malaysia bercadang untuk menemui mereka supaya dapat memberikan penjelasan mengenai Islam yang sebenar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penghargaan dan ramah mesra bersama media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sebagai sebuah entiti dakwah, Yadim bertanggungjawab untuk terus menyebarkan syiar Islam di segenap lapisan masyarakat.

"Yadim hanya fokus kepada kerja-kerja dakwah, apabila ada pihak yang melakukan tindakan sebegitu, kami akan ambil peluang dan cari jalan untuk bertemu dengan mereka," katanya.

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan wanita itu membuka pakaiannya di hadapan penonton selepas mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran.

Artikel Berkaitan:

Siti Amirah, 28, dan teman lelakinya yang berkongsi rakaman video itu telah didakwa di mahkamah selain Rizal, 39, turut ditahan susulan penularan tiga klip video didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi tersebut.

Nasrudin berkata, tindakan penutupan kelab itu oleh pihak berkuasa adalah wajar.

"Kita tidak mahu sebuah premis dijadikan sebagai tempat untuk menghina agama Islam. Sekiranya ia berlaku, memang wajarlah ia disekat kerana membawa keburukan," katanya.

Menerusi perkembangan sama, Nasrudin turut menegur individu yang menjadikan Islam sebagai kandungan media sosial untuk meraih perhatian.

“Islam ini sangat luas, pelbagai kandungan boleh dipaparkan dalam media sosial untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim tanpa perlu membuat kontroversi.

“Contohnya ada yang membuat ‘content’ tarik tudung muslimah, walaupun mungkin alasannya nak tunjuk konon kalau tarik tudung itu nak tengok reaksi masyarakat sama ada marah atau tidak tetapi dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.