Pengilang disyaki tipu isipadu minyak masak

Hee Sam (kiri) dan Norena (dua dari kiri) sedang timbang minyak masak paket bersubsidi di sebuah pengilang di Batu Berendam, Melaka, pada Jumaat.
Hee Sam (kiri) dan Norena (dua dari kiri) sedang timbang minyak masak paket bersubsidi di sebuah pengilang di Batu Berendam, Melaka, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Pemeriksaan mengejut dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka pada Khamis, berjaya membongkar taktik sebuah kilang minyak masak di negeri ini disyaki menipu isipadu minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg).

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan kira-kira jam 3 petang itu mendapati kira-kira 850 pek minyak masak mempunyai kandungan berat kurang daripada 1kg.

Menurutnya, meskipun memberi alasan ia berpunca daripada masalah alat timbang rosak, namun pihaknya memadang serius kesalahan itu dan kertas siasatan telah dibuka.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat 50 kotak yang setiap kotak berisi 17 pek minyak masak paket bersubsidi didapati berat kandungan kurang daripada 0.01gram (g) hingga 0.08g.

"Jumlah timbangan memang sangat ketara, yang kita tengok ada 0.092g, ada yang 0.93g yang mana apabila ditimbang ia kurang daripada 1kg.

"Setakat ini kilang terbabit masih beroperasi seperti biasa namun kita pantau agar kesalahan itu tidak berulang lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut di lokasi pengilang minyak masak di Batu Berendam, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Exco Perpaduan, Hubungan Maysarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sam.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dibaca bersama Seksyen 6(1)(b) akta sama yang boleh didenda sehingga RM250,000 bagi kesalahan pertama manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Ujarnya, selain itu sebuah pengilang minyak masak di Jasin telah disita kerana mengalihkan barang kawalan di luar Melaka.

Menurutnya, pengilang tersebut telah ditarik kuota di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana melakukan kesalahan itu.

"Kita telah perhatikan (pengilang) itu dari tahun lepas lagi bukan sebab kita ada Ops Anti Sorok Barang kawalan ke apa tapi dari tahun lalu kita memerhati pergerakan mereka.

"Pengilang tidak boleh sewenang-wenangnya menghantar bekalan luar dari kawasan Melaka ini bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi di negeri ini mencukupi," katanya

Setakat ini, lapan kilang minyak masak daripada 12 jumlah keseluruhan pengilang telah diperiksa bermula Julai ini bagi Ops Anti Sorok Barang kawalan.